PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) telah bersetuju terhadap beberapa parameter yang akan memandu ke arah pengagihan kerusi pilihan raya negeri (PRN).
Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata rundingan mengenai formula pengagihan kerusi telah pun dibuat bersama namun masih belum selesai.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkembangan pembahagian kerusi antara dua gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan itu.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, keputusan BN menggunakan logo sendiri di PRN enam negeri adalah dalam pengetahuan Majlis Perundingan Kerajaan Perpaduan.
"Perkara itu dimaklumkan secara tidak formal di antara kepimpinan kedua-dua gabungan," katanya.
Saifuddin menjelaskan aspek penggunaan logo adalah dalam domain keputusan gabungan politik masing-masing kerana Kerajaan Perpaduan tidak ada logo sendiri buat masa ini.
"Jadi PH ada logonya dan BN ada logonya. Dalam konteks itulah Pengerusi BN membuat keputusan dalam domain mereka.
"Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ada memaklumkan secara tidak formal, kami berjumpa hampir setiap hari, kami berbincang pelbagai perkara termasuklah tentang perkara ini.
"Ia adalah dalam pengetahuan kita kerana kita bersembang, berjumpa dekat Parlimen, tanya tentang sambutan di Kedah, di Pualu Pinang atau mengenai sokongan undi Melayu," katanya.
Menurutnya, ia adalah keputusan gabungan poltiik yang berbeza.