Sulaiman letak jawatan Ketua Menteri Melaka

Iklan
Sulaiman - Foto Bernama

BENTONG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Rabu mengesahkan Ahli Dewan Undangan Negeri Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali telah meletak jawatan sebagai Ketua Menteri Melaka.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, Sulaiman telah menyerahkan surat peletakan jawatan itu pada pertemuan di pejabatnya di Parlimen, pada Selasa.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, beliau akan menghadap Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam untuk mempersembahkan nama calon yang sesuai untuk dilantik sebagai Ketua Menteri yang baharu.

"Saya mengharapkan kebijaksanaan TYT (Tuan Yang Terutama) untuk menerima watikah yang akan saya kemukakan dan majlis angkat sumpah (Ketua Menteri baharu) akan mengikut kesesuaian tarikh TYT," katanya pada sidang media di Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al Falah, Kampung Lebu di sini pada Rabu.

Iklan

Turut hadir Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak memaklumkan bila beliau akan menghadap Mohd Ali mahupun jumlah nama individu yang akan dikemukakan dalam senarai berkenaan.

Iklan

Ditanya jika nama Pengerusi Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusof akan disenaraikan, Ahmad Zahid menjawab:"Saya tidak boleh mengesahkan atau menafikan. Kita tunggu pengumuman daripada Kerajaan Negeri Melaka."

Berhubung soalan jika pertukaran Ketua Menteri itu adalah sebahagian daripada perancangan pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka seperti diumumkan beliau di negeri itu baru-baru ini, Ahmad Zahid berkata ada kemungkinan ia akan berlaku.

"Kita akan lihat perkembangan terbaharu apabila Ketua Menteri yang baharu ini mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN Melaka) selepas raya," katanya.

Spekulasi pertukaran Ketua Menteri Melaka mula dilaporkan media hari ini, susulan tular di aplikasi WhatsApp maklumat mengenai Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan Ketua Menteri yang baharu bakal berlangsung Jumaat ini.

Pada majlis itu, Ahmad Zahid turut menyampaikan Bantuan Imarah Masjid daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) kepada tiga masjid bernilai RM9,000 selain sumbangan kepada anak yatim dan saudara baharu Islam. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN:

Melaka bakal bertukar Ketua Menteri?

Ab Rauf minta sabar, tunggu pengumuman rasmi

Sulaiman letak jawatan Ketua Menteri Melaka

Tidak campur kemelut BN Melaka

Sulaiman letak jawatan: Seri Negeri jadi tumpuan media

Sulaiman hadir ke pejabat Ketua Menteri seperti biasa

Sulaiman tunjuk isyarat mohon maaf

Angkat sumpah Ketua Menteri Melaka Jumaat

Rauf calon Ketua Menteri Melaka baharu

Letak jawatan: Sulaiman perlu beri penjelasan