KUALA LUMPUR - Dua organisasi media Arab Saudi - Arab News and Saudi Press Agency (SPA), agensi berita rasmi Arab Saudi - telah membuat liputan mengenai lawatan rasmi tiga hari Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu dari 22 hingga 24 Mac.
Media berkenaan menyiarkan perjalanan lawatan Anwar sejurus ketibaannya bersama delegasi di Jeddah, serta lawatannya ke Masjid Nabawi di Madinah dan Masjidil Haram di Makkah untuk menunaikan umrah.
SPA mahupun Arab News bagaimanapun tidak melaporkan lawatan Anwar ke Arab Saudi adalah semata-mata untuk menunaikan umrah dan melawat ibu pejabat Bank Pembangunan Islam (IsDB), seperti didakwa pihak tertentu.
Terdapat beberapa pihak, termasuk parti politik pembangkang, yang mendakwa Anwar hanya disambut oleh Gabenor Jeddah dan perdana menteri tidak bertemu Raja Salman bin Abdulaziz atau Putera Mahkota Mohammed bin Salman.
SPA melaporkan kebanyakan aturcara lawatan Anwar bersama foto yang mendominasi halaman beritanya meskipun Anwar tidak berinteraksi dengan media tempatan di Arab Saudi.
Foto-foto yang diterbitkan memaparkan Anwar ditemani anggota keselamatan dan pegawai di tempat-tempat yang dilawatinya, yang menunjukkan beliau menerima keistimewaan yang diperuntukan untuk lawatan rasmi.
Pada 22 Mac, SPA melaporkan ketibaan Anwar di lapangan terbang di Jeddah disambut oleh Gabenor Jeddah, Putera Saud bin Abdullah bin Jalawi dan beberapa pegawai kanan yang lain.
SPA terus membuat liputan mengenai aturcara Anwar pada hari-hari berikutnya.
Arab News, media bahasa Inggeris pertama Arab Saudi, memaparkan lebih banyak kandungan mengenai lawatan Anwar, bermula dengan liputan bertajuk"Malaysia mahu perkukuh hubungan dengan Arab Saudi ketika PM tiba untuk lawatan pertamanya”, pada 22 Mac.
Berita 12 perenggan itu turut mengandungi petikan daripada Shahriman Lockman, pengarah di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa di Kuala Lumpur dan Dr James Dorsey, seorang felo kanan di Institut Timur Tengah Universiti Nasional Singapura.
Sekali lagi, seperti SPA, foto mendominasi halaman berita, menunjukkan keutamaan diberikan kepada lawatan Anwar ke Arab Saudi.
Pada 23 Mac, Arab News menerbitkan laporan mengenai pertemuan Anwar dengan Setiausaha Agung Liga Dunia Islam Mohammed bin Abdulkarim Al-Issa di Makkah, di mana kedua-dua pemimpin membincangkan inisiatif organisasi itu dalam membina jambatan antara masyarakat berdasarkan nilai bersama, dan menangani ekstremisme.
Pada hari yang sama, ia juga menerbitkan berita SPA mengenai Anwar dan delegasi Malaysia mengadakan pertemuan dengan Dr Mohammad bin Sulaiman Al-Jasser, Presiden dan Pengerusi Kumpulan Bank Pembangunan Islam (IsDB) di Jeddah.
Mohammad dipetik sebagai berkata lawatan itu mencerminkan hubungan kukuh Malaysia dengan IsDB, dan beliau menegaskan bahawa Malaysia adalah model kejayaan seperti yang dapat dilihat pada pencapaian sosial dan ekonominya.
Mohammad juga menegaskan komitmen pihaknya untuk meneroka peluang bagi melanjutkan kerjasama dengan Malaysia. - Bernama