ALOR SETAR - Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) kini memberi perhatian terhadap usaha membendung penyebaran ekstremis militan Daesh yang mula telah dikesan dalam media sosial.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, ia supaya penyebarannya tidak terus berleluasa mempengaruhi umat Islam dalam negara.
"Seperti dilaporkan media, Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara menyatakan ada bibit-bibit permulaan penggunaan media sosial untuk sebar ekstremis militan Daesh dan kita (KKD) nak pastikan ia dibendung segera, cantas awal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama dalam sesi town hall bersama warga kerja KKD Kedah di Auditorium RTM Kedah di sini.
Turut serta Ketua Setiausaha KKD, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, Roslan Ariffin.
Semantara itu, Fahmi berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ahad ini bagi meneliti kes yang melibatkan kandungan berunsur 3R iaitu Race (Kaum), Religion (Agama) dan Royalty (Institusi Diraja) di media sosial.
"...kerisauan dalam kalangan Raja-Raja Melayu.. satu perkembangan dirasakan tidak sihat iaitu ekstremisme... dan kerisauan dalam kalangan sekumpulan ulamak ialah menjurus kepada fahaman takfiri (iaitu) kafir mengkafir, itu yang merisaukan Raja-Raja Melayu, jadi menjadi tanggungjawab saya yang menjaga komunikasi dan digital untuk mencari jalan (penyelesaian),” katanya.
Fahmi seterusnya menyuarakan harapan agar warga kerja KKD tidak terlibat dalam isu politik, dan perlu berkhidmat sebaiknya menunaikan tanggungjawab sebagai penjawat awam.
"Kita boleh berbeza pandangan, tetapi jangan keterlaluan,” katanya yang turut menyeru warga kerja KKD melaksanakan tugas sebagai penjawat awam dengan penuh berintegriti sekali gus bebas daripada amalan rasuah. - Bernama