MUAR - Empat kanak-kanak masing-masing dua lelaki dan dua perempuan maut dalam kebakaran di sebuah rumah di Lorong Haji Muhammad, Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor di sini pada Rabu.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muar, Timbalan Penguasa Bomba II Shahrizal Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 7.49 petang.
Susulan itu katanya, seramai 20 anggota dari BBP Muar dan BBP Bukit Gambir dibantu dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke tempat kejadian.
"Setelah api padam sepenuhnya pihak bomba bertindak membuat pencarian mangsa. Empat mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak perempuan berusia empat dan enam tahun serta dua kanak-kanak lelaki berusia tiga dan lapan tahun ditemui meninggal dunia," katanya dalam kenyataan pada malam Rabu.
Beliau berkata, semua mangsa dijumpai dalam bilik air rumah terbabit dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Katanya, pemeriksaan lanjut oleh pegawai perubatan mengesahkan semua mangsa telah meninggal dunia.
Tambah beliau, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan, operasi tamat pada jam 9.52 malam," ujarnya.