JOHOR BAHRU - Senai Airport Terminal Services Sdn Bhd (Lapangan Terbang Antarabangsa Senai) hari ini mengumumkan penyambungan semula rangkaian antarabangsanya dengan mengalu-alukan penerbangan pertama yang tiba dari Guangzhou melalui AirAsia pada 6.55 pagi.
Ketibaan penerbangan pagi ini disambut oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Kebudayaan Johor K. Raven Kumar bersama-sama wakil dari Johor Tourism, agensi kerajaan Johor dan pihak berkepentingan.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terminal Lapangan Terbang Senai, Kennedy Ayu berkata, pihaknya berbesar hati menyambut 110 penumpang pertamanya daripada penerbangan AK1395, perkhidmatan tanpa henti ke Johor Bahru.
"Dalam kalangan penumpang tanah besar China, Johor terkenal dengan aktiviti bersantai dan perniagaan, justeru penyambungan semula perkhidmatan ini akan memberi peluang menarik kepada kedua-dua destinasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Penerbangan tiga kali seminggu antara Johor Bahru dan Guangzhou itu selaras dengan strategi AirAsia dalam mewujudkan semula perkhidmatan antarabangsanya ke China dari hab lain di Malaysia, berikutan penyambungan semula perkhidmatan dari Kuala Lumpur dan Kota Kinabalu ke Macao, Guangzhou, Shenzhen dan Kunming baru-baru ini.
Sementara itu, CEO AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata, syarikat penerbangan itu akan terus mengembangkan rangkaiannya ke dan dari China sebagai tindak balas kepada permintaan perjalanan yang semakin meningkat, terutamanya apabila republik itu membuka semula sempadannya untuk pelancongan bulan ini.
"Kami berbangga menjadi syarikat penerbangan pertama yang menghubungkan Johor Bahru ke destinasi antarabangsa, selepas pandemik. Sejak memulakan semula operasi kami dari China bulan lepas, kami telah menerbangkan hampir 10,000 pelawat China ke Malaysia, membuktikan bahawa Malaysia adalah destinasi utama bagi pengembara China.
"Kami berharap dapat bekerjasama dengan pihak berkepentingan kami termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Senai untuk mengembalikan perkhidmatan kami ke tahap sebelum pandemik, yang seterusnya akan menyokong sektor pelancongan dan ekonomi tempatan secara keseluruhannya,” katanya.
Selaras dengan penyambungan semula perkhidmatan, AirAsia menawarkan diskaun 20 peratus untuk penerbangan dari Johor Bahru ke Guangzhou serta ke Kuala Lumpur, Ipoh, Kuching, dan Kota Bharu.
Tambang promosi tersedia untuk tempahan mulai sekarang hingga 2 April 2023, bagi tempoh perjalanan antara 10 April 2023 dan 14 Dis 2023, di AirAsia Super App atau airasia.com. - Bernama