Guna hasil samun beli aksesori motosikal

Iklan
Motosikal digunakan suspek dalam kejadian samun di Jalan Tasek Tambahan di sini pada Selasa.

AMPANG JAYA - Seorang pengawal keselamatan diberkas dipercayai terlibat dalam kejadian samun di Jalan Tasek Tambahan di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, siasatan mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari melibatkan mangsa yang juga seorang pemandu peribadi berumur lingkungan 54 tahun yang ketika itu sedang memandu bersendirian.

Iklan
Iklan

"Suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berumur 30 tahun itu menunggang motosikal jenis Honda EX5 sebelum bertindak menghimpit kereta jenis BMW yang dipandu mangsa.

"Suspek kemudiannya menumbuk cermin sebelah pemandu sehingga mengakibatkan mangsa terpaksa menurunkan cermin kereta dipandunya kerana khuatir dipecahkan oleh suspek," katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Iklan

Suspek dipercayai turut bertindak agresif dengan meludah ke arah pemandu peribadi tersebut sebelum meragut rantai emas dipakai mangsa.

"Anggaran kerugian dialami mangsa berjumlah RM3,000," katanya.

Iklan

Menurutnya, siasatan dijalankan kemudiannya membawa kepada penangkapan suspek.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di Tasek Permai, Ampang diberkas sepasukan anggota polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Ampang Jaya kira-kira jam 9.45 malam.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek telah menjual barang emas tersebut di kedai pajak di daerah Ampang sebelum membeli aksesori untuk dipasang pada motosikalnya.

"Polis turut merampas satu set pakaian, satu topi keledar, dokumen resit pajak gadai, seutas rantai emas, alat kawalan jauh motosikal dan sebuah motosikal yang digunakan semasa kejadian," kata beliau.

Beliau menjelaskan, semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan jenayah.

"Suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.