‘Iftar ala Madinah @Karangkraf beri peluang berjimat’

Iklan
Tetamu yang hadir berbuka puasa di Majlis Iftar ala Madinah @Karangkraf di Shah Alam. (Gambar kecil: Mohd Nurzulkarnain, Azizah, Robiah)

SHAH ALAM - Program Iftar ala Madinah @Karangkraf yang menawarkan juadah berbuka puasa secara percuma memberikan kelegaan kepada orang ramai terutama golongan B40 dan kurang berkemampuan.

Rata-rata pengunjung mengakui program anjuran Karangkraf itu membantu menjimatkan wang mereka daripada berbelanja membeli juadah di bazar Ramadan atau menyediakan makanan sendiri.

Iklan
Iklan

Suri rumah, Robiah Ismail, 40, berkata, dengan adanya majlis tersebut, dia bersama suami dapat berjimat sebanyak RM50 sehari untuk membeli juadah berbuka puasa.

"Saya nampak hebahan berbuka puasa ini (menerusi media), jadi saya dan suami ambil keputusan untuk berbuka puasa di sini sahaja. Bukan sahaja menjimatkan, ia juga mengajar kita erti bersederhana.

Iklan

"Jadi, tidak perlu untuk keluarkan duit setiap hari kerana makanan yang disediakan di sini meskipun makanan asas, tetapi ia mengenyangkan perut,” katanya kepada Sinar Harian.

Situasi semasa azan maghrib dilaungkan

Sementara itu, pembantu tadbir, Mohd Nurzulkarnain Abu Zarin, 41, berkata, selain daripada memberi manfaat kepada golongan berkeluarga, program itu juga memberikan kesan besar kepada pelajar universiti.

Iklan

Jelasnya, dengan harga makanan yang semakin melambung tinggi, Iftar Ala Madinah itu merupakan satu platform terbaik bagi orang ramai menjimatkan perbelanjaan harian.

"Sangat menjimatkan. Kita pun tahu harga makanan di bazar sekarang sangat mahal. Kalau dahulu murtabak sekitar RM3.50, sekarang ada yang mencecah RM6. Air pun ada sehingga RM7, mana mampu nak belinya.

"Jadi apa yang saya nampak, program ini sangat membantu golongan yang memerlukan. Ini termasuk bagi pekerja yang jauh nak pulang ke rumah yang mengambil masa sehingga satu atau dua jam,” ujarnya.

Tambah Mohd Nurzulkarnain, daripada penjimatan itu, secara tidak langsung dapat menampung perbelanjaan lain seperti persediaan menyambut Aidilfitri.

"Jadi, kita boleh berbelanja untuk persediaan raya selain minyak untuk pergi ke tempat kerja. Banyak yang kita boleh tampung daripada penjimatan ini,” katanya.

Suri rumah, Azizah Abdul Aziz, 58, pula memberitahu, selain ia menjimatkan, program tersebut yang dianjurkan bagi menikmati suasana berbuka puasa seperti di Masjid Nabawi itu juga dapat merapatkan hubungan silaturahim.

Solat maghrib secara berjemaah turut diadakan seusai majlis berbuka puasa.

Jelasnya, bukan sahaja antara sesama ahli keluarga, malah hubungan bersama para pengunjung lain yang hadir.

"Ini kali pertama kami datang. Apa yang saya nampak program iftar ini dapat merapatkan hubungan silaturahim. Kalau nak kata dapat jimat, ia memang sangat-sangat membantu.

"Meskipun kami sekeluarga tidak selalu membeli juadah di bazar Ramadan disebabkan selalu masak sendiri di rumah, namun kos memasak mencecah sehingga RM40 sehari. Jadi, agak banyak kos yang dikeluarkan.

"Disebabkan program Iftar ala Madinah ini menyeronokkan, sudah pasti saya akan datang lagi dan menghebahkan kepada orang lain juga,” ujarnya.

Program Iftar ala Madinah @Karangkraf bermula sejak 24 Mac lalu hingga 18 April ini dan mampu menampung seramai 1,000 pengunjung setiap hari.