PEMAIN Harimau Malaya, Muhammad Akhyar Rashid mengakui amat berpuas hati selepas meledak dua gol dalam dua aksi persahabatan menentang Hong Kong dan Turkmenistan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Selasa.
Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, perasaan itu hadir disebabkan dia kurang mendapat peluang beraksi sekali gus tidak berpeluang menampilkan potensi sebenar dimilikinya.
"Bagi saya untuk dua perlawanan ini, disebabkan saya jarang dapat main (jadi) saya puas hati sangat kerana dua gol dalam dua perlawanan.
"Jadi untuk perlawanan berikutnya saya akan buat lebih baik, saya tak rasa bermain dengan sangat baik dalam dua perlawanan ini tetapi saya cuba buat apa yang terdaya.
Pada perlawanan itu, pemain Harimau Selatan berusia 24 tahun itu antara penjaring gol bermula minit ke-18 diikuti jaringan Faisal Halim (m-41) untuk kemenangan 2-0.
Bekas bintang berprofil tinggi Sang Kenari itu sebelum ini turut menyumbang gol kemenangan Harimau Malaya ketika menjinakkan Turkmenistan 1-0, pada Khamis lalu.
Berkongsi mengenai tahap kecergasannya dan keupayaan mengekalkan rentak setiap kali dipanggil menyarung jersi negara di sebalik jarang beraksi, Akhyar berkata, antara rahsianya ialah penjagaan makan dan minum.
"Sejujurnya saya jaga makan dan minum, saya tidak cukup cergas disebabkan tidak cukup minit permainan tetapi saya cuba buat yang bagus dalam latihan,” ujarnya.