GEORGETOWN - Seorang tekong dan empat nelayan warga Myanmar ditahan sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Pulau Pinang ketika berada di dalam sebuah bot nelayan tempatan pada jam 12.10 tengah hari, Rabu.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, kapal ronda Maritim Malaysia telah mengesan sebuah bot nelayan tempatan kelas C dalam keadaan mencurigakan ketika melaksanakan rondaan rutin Op Tanjung.
Menurutnya, bot nelayan tempatan yang berpangkalan di Pantai Remis, Perak itu ditahan pada kedudukan 32.7 batu nautika barat laut Muka Head.
"Mereka disyaki telah melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63 iaitu tiada permit menggajikan warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia serta tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau menambah, bot serta kesemua nelayan ditahan bersama 500 kilogram hasil laut yang dirampas dibawa ke Jeti Limbongan Batu Maung sebelum diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.
"Maritim Malaysia mendapati masih terdapat segelintir pengusaha atau pemilik bot yang masih berdegil menggunakan pendatang asing untuk bekerja menggunakan bot mereka walau pun tangkapan dan amaran telah diberikan sebelum ini.
"Kita tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana pengusaha atau pemilik bot yang sengaja melanggar undang-undang persekutuan di Zon Maritim Malaysia," katanya.