ALOR SETAR - Tujuh individu disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar ditahan dalam satu pemeriksaan yang dilakukan ke atas sebuah feri penumpang di kedudukan 1.08 batu nautika barat daya muara Kuala Kedah pada Rabu.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, hasil maklumat risikan, mereka yang terdiri daripada empat lelaki dan tiga wanita itu menaiki feri penumpang dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Kedah tanpa membawa dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, ketika pemeriksaan feri pada jam 9.45 pagi itu, anggota penguat kuasa mendapati mereka hanya memiliki salinan surat permohonan United Nations High Commission for Refugees (UNHCR) yang meragukan memandangkan permohonan kad terbabit telah dihentikan.
"Mereka kemudiannya ditahan dan dibawa ke Pejabat Zon Maritim Kuala Kedah untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Menurutnya, kesemua PATI terbabit didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (pindaan 2002).
"Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali dan sebatan tidak lebih dari enam kali," katanya.
Noor Azreyanti menambah, pihak Zon Maritim Kuala Kedah mengalu-alukan orang ramai bagi melaporkan sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut melalui saluran talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.