Kemasyhuran Ferguson, Wenger

Iklan
Ferguson (kiri) dan Wenger menjadi jurulatih pertama menyertai Dewan Kemasyhuran EPL. - Foto Agensi

IBARAT sireh pulang ke gagang bekas pengendali Manchester United, Alex Ferguson dan bekas bos Arsenal, Arsene Wenger menjadi jurulatih pertama menyertai Dewan Kemasyhuran Liga Perdana Inggeris (EPL).

Figura hebat itu bersaing sengit di era 90-an, memenangi 16 gelaran liga tertinggi Inggeris di antara mereka.

Iklan
Iklan

Ferguson, 81, menjadi jurulatih paling berjaya dalam sejarah EPL apabila memacu United merangkul 13 gelaran, manakala Wenger memenangi kejohanan itu tiga kali bersama Arsenal, termasuk tidak tewas sepanjang musim 2003/04.

Ferguson yang membimbing United lebih 26 tahun, memenangi gelaran sulung ketika EPL diperkenalkan pada musim 1992/93 - kejayaan liga pertama Red Devils sejak tahun 1967.

Iklan

"Ini satu penghormatan apabila mendapat pengiktirafan sebegini. Namun ia bukan tentang saya sebagai individu, sebaliknya berkaitan tugas di United dan ikatan yang kami ada sepanjang di Old Trafford.

"Saya amat bangga untuk kelab, kakitangan dan pemain-pemain,” kata Ferguson yang bersara pada tahun 2013 selepas merangkul gelaran ke-13.

Iklan

Enam pemain di bawah kendalian Ferguson terlebih dahulu memasuki Dewan Kemasyhuran EPL.

Mereka ialah David Beckham, Eric Cantona, Roy Keane, Wayne Rooney, Peter Schmeichel dan Paul Scholes.

Wenger pula tiba di Arsenal pada tahun 1996 sebagai salah seorang pengendali dari luar negara di EPL, kekal di kelab itu sehingga tahun 2018.

Jurulatih dari Perancis itu menerapkan falsafah bola sepak berbeza, mementingkan soal pemakanan dan sains sukan dalam bola sepak Inggeris.

Dia komited dengan corak permainan menarik, menyerang dan memenangi gelaran pada 1997/98 - musim penuh pertamanya bersama kelab.

Wenger turut memanfaatkan pasaran perpindahan dengan mencungkil bakat dari luar negara, dua pemainnya dari Perancis - Thierry Henry dan Patrick Vieira turut tersenarai dalam Dewan Kemasyhuran EPL.

"Berkongsi pengiktirafan ini bersama Sir Alex adalah penghormatan yang besar buat saya. Ia seperti dua petinju - bertarung sengit dan mencapai kejayaan bersama.

"Ia adalah peluang terbaik untuk kembali bertemunya dan mengimbau kenangan lalu,” kata Wenger yang bersama Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) sebagai ketua pembangunan bola sepak FIFA.