Penduduk tak sangka empat beradik dalam rumah

Iklan
Idris menunjukkan keadaan rumah yang terbakar hingga mengorbankan empat beradik di Kampung Sabak Awor,Muar pada malam Rabu.

MUAR - Penduduk Kampung Sabak Awor tidak menyangka kebakaran sebuah rumah pada malam Rabu, berakhir dengan tragedi empat beradik maut kerana beranggapan kesemua mereka tiada rumah.

Limat Sawal, 63, berkata, ketiadaan kereta Perodua Kancil milik keluarga itu, membuatkan penduduk merasakan kebakaran tidak melibatkan mangsa.

Iklan
Iklan

"Biasanya kami jiran-jiran tengok, ibu bapa kanak-kanak tersebut akan membawa kesemua anak mereka menaiki kereta berjalan-jalan atau keluar membeli barang.

"Nyata sangkaan kami meleset, apabila bomba menemukan empat beradik itu di dalam bilik air di bahagian dapur rumah," katanya ketika ditemui pada Khamis.

Iklan

Limat berkata, dia antara yang terawal tiba di lokasi kejadian selepas melihat api marak dari rumah jirannya itu yang terletak kira-kira 100 meter.

Keadaan rumah yang terbakar.

"Ketika itu saya dan keluarga sedang berbuka puasa. Apabila lihat api dari rumah jiran saya bergegas ke sana. Saya bersama jiran-jiran yang lain cuba padam kebakaran dengan menjirus air paip.

Iklan

"Namun api semakin marak dan asap mula tebal. Tidak lama kemudian anggota bomba tiba untuk memadam kebakaran," katanya.

Limat yang tidak dapat menahan kesedihan memberitahu, kanak- kanak tersebut kerap dilihat bermain di hadapan rumah sebelum ini.

"Ibu mereka bergaul dengan penduduk. Saya cukup sayu apabila mengenangkan kejadian ini, kerana anak-anak mereka masih kecil dan sebaya cucu-cucu saya," katanya.

Seorang lagi, penduduk Idris Sehan, 76, berkata, dia mengetahui kejadian kebakaran itu daripada penduduk ketika berada surau selepas solat terawih.

"Saya terkejut apabila diberitahu ada rumah yang terbakar. Rumah yang terbakar itu merupakan milik sepupu saya yang disewakan kepada sebuah keluarga sejak empat tahun lalu.

Penduduk kampung turut bersedih dengan tragedi yang mengorbankan empat beradik di Kampung Sabak Awor.

"Buat masa sekarang, ibu bapa mangsa tinggal di balai raya kampung. Kami penduduk turut menghulurkan bantuan untuk meringankan beban mereka," katanya.

Sebelum itu, empat adik-beradik berusia antara lapan hingga tiga tahun terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan dilaporkan maut dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Ismail, Kampung Sabak Awor, pada kira-kira jam 7.49 malam, Rabu.

Pasangan adik-beradik tersebut dikenali sebagai Puteri Aisyah Tenko To, 8, Mohd Hakim, 6, Mustakim, 4, dan Fatihah Aisyah, 3.