Jauteh dilantik pemangku Pesuruhjaya Polis Sabah

Iklan
Acryl Sani (tengah) menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis antara Idris (kiri) dan Jauteh (kanan) di IPK Sabah.

KOTA KINABALU - Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah akan bersara secara rasmi pada Jumaat dan tempat beliau digantikan oleh Timbalannya, Datuk Jauteh Dikun sebagai pemangku berkuat kuasa serta-merta.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) percaya dengan pengalaman luas yang ada pada Jauteh untuk mengemudi polis Kontinjen Sabah.

Iklan
Iklan

"Saya percaya kemampuan yang ada pada beliau untuk memantapkan lagi seluruh anggota Kontinjen Sabah," katanya pada sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pesuruhjaya Polis dan Pengerusi Perkep Kontinjen Sabah di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, di sini, pada Khamis.

Acryl Sani dalam pada itu memaklumkan bahawa PDRM akan mengadakan mesyuarat untuk berbincang mengenai kekosongan jawatan berkenaan bukan saja di Sabah tetapi di beberapa tempat lain.

Iklan

"Saya percaya dalam tempoh tidak berapa lama lagi, pihak PDRM akan umumkan pelantikan rasmi jawatan Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu.

"Untuk makluman, hujung minggu ini akan diadakan mesyuarat oleh polis yang akan membincangkan dan memilih beberapa calon yang disyorkan bukan di Sabah saja, bahkan di beberapa tempat lain. Ada banyak kekosongan jawatan utama yang perlu diisi segera dan ia melibatkan jawatan berbentuk pemangku," jelasnya.

Iklan

Sementara itu, diminta mengulas kekosongan perjawatan di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) selepas beberapa pegawai dan anggota dituduh di mahkamah pada Februari lalu, beliau memaklumkan tindakan telahpun diambil untuk mengisi kekosongan terbabit.

"Sekarang ini kita pun sudah sedia maklum ada beberapa pegawai dan anggota didakwa di mahkamah dan ia akan menyebabkan beberapa kekosongan di perjawatan tersebut.

"Tindakan telahpun kita ambil untuk membuat pengisian menggantikan pegawai yang terlibat untuk memastikan supaya perjalanan operasi ESSCom tidak akan terjejas.

"Ada yang telah diisi dan ada yang telah diproses untuk mengenal pasti pegawai dan anggota yang sesuai diletakkan dalam perjawatan yang ditinggalkan kosong," katanya.

Pada 8 Februari lalu, seramai enam pegawai dan anggota polis dituduh terbabit dalam kes bunuh di Mahkamah Majistret Tawau.