Persaingan teknologi jadi perbincangan utama peringkat tertinggi

Iklan
Anwar menyampaikan ucapan pada Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia (BFA 2023) pada Khamis. - Foto Bernama

HAINAN - Persaingan teknologi seharusnya menjadi antara agenda utama untuk perbincangan di peringkat tertinggi, setanding dengan wacana mengenai hal-hal keselamatan dan ekonomi am, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dengan perlumbaan semasa yang tertumpu pada teknologi canggih seperti ditunjukkan dalam persaingan dalam industri semikonduktor, pesaing yang akan mendahului dalam hal ini boleh menjadi sama ada produktif atau destruktif.

Iklan
Iklan

"Justeru, izinkan saya mengulangi bahawa persaingan yang tiada halangan mesti memberi laluan kepada kerjasama yang penuh semangat,” katanya dalam sesi pleno di Forum Boao bagi Persidangan Tahunan Asia 2023 (BFA 2023) di sini pada Khamis.

Anwar berkata, Malaysia telah memperkenalkan konsep Malaysia Madani sebagai satu ekspresi hasrat untuk menempa laluan negara berdasarkan acuan sendiri kerana ia mewujudkan sebuah negara insani selaras dengan nilai ketamadunannya.

Iklan

"Dalam pengertian ini, ia juga falsafah negara kita yang berpaksikan enam nilai teras: kemampanan, kemakmuran, inovasi, rasa hormat, amanah dan belas kasihan,” katanya.

Daripada falsafah inilah, Anwar berkongsi pemikirannya tentang cara mencapai perpaduan dan kerjasama untuk pembangunan di tengah-tengah cabaran.

Iklan

Beliau berkata, dunia harus memberi tumpuan kepada nilai-nilai yang menyatukan rakyat sebagai keluarga insani dan bukannya nilai-nilai yang memecahbelahkan.

"Etika, keikhlasan dan integriti dalam berurusan dengan rakan kongsi dalam situasi dua hala dan pelbagai hala harus diutamakan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, konsep akauntabiliti demokrasi juga harus diutamakan dan bukannya sekadar melontarkan slogan atau istilah"demokrasi” yang telah digunakan sebagai cara mengkategorikan negara-negara mengikut standard yang agak sembarangan.

"Pada fikiran saya, ‘akauntabiliti demokratik’ menyarankan pemimpin bertanggungjawab kepada semua lapisan rakyat, menyediakan taraf hidup yang lebih baik, ketelusan dalam proses membuat keputusan dan amalan menyeluruh tadbir urus yang baik dan berkesan,” katanya.

Sementara itu, Anwar berkata, rakyat biasa dengan bebanan terpaksa menyediakan makanan dan ketidaktentuan ketara dan mendesak yang dihadapi juga tidak boleh dilupakan.

Beliau berkata, gaji/upah masih kekal sebagai satu bentuk pendapatan utama bagi majoriti penduduk dunia tetapi menurut Laporan Gaji Global Pertubuhan Buruh Antarabangsa 2022-2023, gaji/upah dan kuasa beli isi rumah telah"merosot dengan ketara" disebabkan oleh Covid-19 dan inflasi global..

Anwar berkata, dalam ketiadaan tindak balas dasar yang mencukupi, masa depan terdekat akan menyaksikan kejatuhan mendadak dalam pendapatan benar dan peningkatan ketidaksamaan yang boleh mencetuskan lagi kekacauan sosial.

"Sehubungan itu, kita harus bekerjasama rapat dalam semangat kerjasama dan perpaduan, berusaha ke arah mengurangkan ketidaksamaan, menggalakkan keadilan sosial dan meningkatkan taraf hidup untuk semua.

"Sebagai penutup, sekiranya kita terus bekerjasama, bercakap dalam suara yang bersatu dan bertukar-tukar idea mengenai strategi dan amalan dasar terbaik, kita boleh berusaha ke arah Asia yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” tambahnya.

Forum Boao bagi Asia ialah organisasi bukan kerajaan dan bukan untung antarabangsa yang dimulakan oleh 29 negara anggota dan Boao ialah venue tetap untuk persidangan tahunan itu.

Penyertaan Anwar dalam BFA 2023 juga bertepatan dengan ulang tahun ke-10 peningkatan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China sejak 2013.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong di Hotel Boao Golden Coast.

Anwar akan berlepas dari Hainan ke Beijing pada tengah hari untuk meneruskan lawatan rasminya dan dijadualkan bertemu Presiden China, Xi Jinping. - Bernama