'Dah gilis lari pula, saya tak akan maafkan dia'

Iklan
Nor Kamar Hisham merenung gambar Allahyarham Mimi yang dipanggilnya adik sementara menunggu proses bedah siasat selesai dijalankan di Unit Forensik Hospital Slim River, Tanjung Malim pada Khamis. (Laporan Sinar Harian)

TANJUNG MALIM - Seorang bapa terkilan dengan tindakan pemandu lori yang cuai membuat pusingan U hingga meragut nyawa anak dan anak saudaranya dalam nahas di Kilometer 121, Jalan Ipoh-Kuala Lumpur berhampiran Kampung Kelawar di sini pada Rabu.

Menurut Nor Kamar Hisham Omar, 48, dia bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan yang anaknya, Mimi Nurwaheeda,19, dan Nur Nabila Rosdi, 19, terlibat dalam kemalangan.

Iklan
Iklan

"Saya cam baju yang mereka pakai dan motosikal. Saya mendapatkan Nabila yang awalnya saya ingatkan anak saya yang mengerang kesakitan.

Nor Kamar Hisham yang juga sukarelawan polis berharap pelaku kejadian itu segera ditahan untuk siasatan lanjut.

Iklan

"Saya terkilan dia (pemandu lori) lari, kalau betul 'gentleman' buat laporan polis dan datang bersemuka dengan saya.

"Saya mahu tanya kenapa dia buat pusingan U di situ kerana kawasan gelap jadi ia berbahaya. Saya berharap dia segera ditahan dan saya tidak maafkan dia," katanya.

Iklan

Tambahnya, sebelum kejadian, anak bongsu daripada tiga beradik itu ada menyatakan hasrat untuk membeli baju raya di aplikasi membeli belah.

"Kami berborak di kedai makan dan saya tanya harga, dia beritahu RM80. Saya cakap tidak perlulah kerana mahal tetapi itulah, dia anak yang paling rapat, tidak sampai hati walaupun cakap begitu.

Jenazah Allahyarham Mimi Nurwaheeda akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Bernam, Selangor manakala Allahyarham Nur Nabila pula di Tanah Perkuburan Islam Felda Gunung Besout 1, Sungkai.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, polis masih giat mengesan lori tangki yang terlibat dalam kejadian itu.

"Lori terbabit membuat pusingan U menyebabkan penunggang motosikal tidak sempat mengelak. Pemandu lori berkenaan tidak berhentikan kenderaannya dan meneruskan perjalanan ke arah selatan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau membahayakan sehingga menyebabkan kematian," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Inspektor Mazlan di talian 017-7433831 atau mana-mana balai berhampiran bagi membantu siasatan.