RHB Islamic sumbang dron, lori kepada LZNK

Iklan
Petani di bawah program Smart SBBA bergambar bersama dron dan lori sumbangan Zakat Wakalah daripada RHB Islamic.

RHB Islamic Bank Berhad (RHB Islamic atau RHB) menyerahkan dua dron pertanian dan sebuah lori tipper bernilai hampir RM300,000 melalui sumbangan Zakat Wakalah untuk meningkatkan taraf hidup petani asnaf di Kedah, dengan kerjasama Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK).

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif, RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali berkata, agihan Zakat Wakalah tersebut digunakan untuk membantu petani asnaf di Kedah melalui projek Smart Sawah Berskala Besar Asnaf Zakat Kedah (Smart SBBA) oleh LZNK.

Iklan
Iklan

Katanya, projek Smart SBBA ini bertujuan untuk pembangunan ekonomi ummah, memfokuskan golongan Asnaf dan petani miskin di negeri Kedah.

"Pada masa yang sama, RHB Islamic juga menyerahkan sebanyak RM500,000 dalam bentuk zakat perniagaan kepada LZNK," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Iklan

Menurutnya, projek Smart SBBA ini selari dengan dasar mekanisme agihan Zakat Wakalah RHB Islamic, iaitu untuk tujuan pemerkasaan sosio-ekonomi.

"Kami berharap bantuan ini dapat membantu para peserta menjana pendapatan yang konsisten dan seterusnya meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Iklan

"RHB Islamic akan terus bekerjasama dengan LZNK untuk mengembangkan lagi inisiatif-inisiatif berimpak tinggi pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif LZNK, Datuk Zakaria Othman berkata, projek Smart SBBA ini dapat menolong petani asnaf untuk mencapai hasil sawah dengan lebih efisien dan memudahkan kerja penanaman dengan penggunaan teknologi dan kelengkapan jentera yang disediakan

"LZNK amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan RHB Islamic dalam usaha yang amat bermakna itu.

"Kami akan terus mempelbagaikan inisiatif dalam menyalurkan sumbangan zakat untuk manfaat kelompok masyarakat yang lebih besar," katanya.

Menurut Zakaria, projek Smart SBBA merangkumi kawasan sawah dengan keluasan 211 hektar, dan telah memanfaatkan seramai 69 petani asnaf di Yan, Kubang Pasu, dan Kota Setar.

"Melalui projek ini, para petani berpeluang untuk memandu jentera dan lori, dan mengendali dron dengan sendiri sekali gus membantu mereka meningkatkan produktiviti dan hasil pertanian," katanya.