SHAH ALAM - Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) mengangkat Surah Al-Insan sebagai surah pilihan pada program World #QuranHour 1444H yang akan bersiaran secara langsung di lokasi perdana iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pada 13 April 2023.
Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff berkata, surah Al-Insan dipilih bertujuan untuk memanusiakan ummah dengan 11 karakter insan Al-Abrar (berkebajikan).
Katanya, karakter itu mencakupi tanggungjawab seorang insan kepada ALLAH SWT dan peranan sesama manusia seperti memenuhi nazar, ikhlas, menunaikan solat fardu serta sabar.
"Pada World #QuranHour 1444H 2023, orang ramai akan disajikan dengan bacaan surah Al-Insan sekali gus dapat menghayati mesej surah tersebut dengan harapan dapat melahirkan insan Al-Abrar yang ikhlas dan sabar.
"Selain itu, program ini juga diharapkan dapat menukar pemikiran manusia daripada rasa kufur kepada syukur. Kalau dilihat kadang-kadang kita banyak tidak bersyukur dengan nikmat yang diberikan," katanya ketika menghadiri Majlis Taklimat Sinergi Media sempena World #QuranHour 1444H.
Turut hadir, Pengasas WUIF, Datuk Hussamuddin Yaacub; Timbalan Pengerusi WUIF, Datuk Muhammad Nasir Hamzah ; Ketua Pengarang Astro Awani, Ashwad Ismail ; Pengurus Saluran Astro Oasis, Nadirah Karim; Pengurus Besar Program dan Kandungan Penyiaran TV9, Khairunnisa Kamarulzaman serta Timbalan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Suzliana Abdul Hamid.
World #QuranHour tahun ini diadakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), UIAM, Majlis Pengarah-Pengarah Perpustakaan Awam Se-Malaysia (MPAM) dan beberapa rakan sinergi media antaranya Sinar Harian, Bernama, Astro Oasis, Astro Awani dan TV9.
Tambah Marhaini, rasa syukur itu semakin terhakis kalangan masyarat, keluarga dan tempat kerja.
"Kalau kita tengok cara berfikir sekarang bukan lah seperti orang bersyukur. Apa yang diharapkan adalah manusia kembali menjadi insan sebagaimana yang ALLAH inginkan.
"Justeru, kita perlu berpegang teguh dan menjadikan al-Quran sebagai sistem operasi diri agar termasuk dalam golongan orang yang bersyukur bukan kufur," jelasnya.
Ditanya mengenai sasaran peserta, beliau menjelaskan sebanyak lebih 1.6 billion disasarkan di seluruh dunia iaitu melebihi pada tahun 2019.
"Dengan penglibatan daripada pelbagai negara seperti Indonesia dan India, diharapkan program ini akan mendapat sambutan yang sangat menggalakkan," katanya.