JAGUH basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berdepan ujian mencabar untuk berpuasa selama kira-kira 15 jam sehari di bulan Ramadan ini.
Tempoh berpuasa yang panjang itu terpaksa dilalui oleh pelumba berusia 35 tahun itu kerana berada di Mallorca, sebuah pulau di Sepanyol berhampiran perairan Mediterranean bagi mengikuti kem latihan untuk perlumbaan di sekitar Eropah.
"Puasa di sini mengambil masa selama lebih kurang 15 jam dengan keadaan cuaca yang mempunyai matahari panas tetapi dengan angin yang sejuk.
"Suhu minimum sekitar 8 celcius dan maksimum mencecah 25 celcius, malah masyarakat tempatan mengatakan sekarang adalah the best season of the year,” ujarnya menerusi catatan di Facebook pada Khamis.
Azizulhasni yang terkenal dengan julukan The Pocket Rocketman turut berkongsi foto kepenatan yang dialaminya selepas menjalani sesi latihan sementara menunggu waktu berbuka puasa.
"Kalau anda dapat lihat gambar yang dikongsi itu, saya bukan sahaja kepenatan daripada sesi latihan tetapi mengusap perut memujuk diri yang hanya tinggal beberapa jam lagi untuk berbuka puasa,” katanya.
Bagaimanapun pelumba yang berasal dari Terengganu itu menjelaskan sesi latihan pada Ramadan disesuaikan dengan program dan waktu latihan.
"Bagi mereka yang tak tahu, latihan masih dijalankan seperti biasa untuk saya dan pasukan lumba basikal trek Malaysia walaupun di bulan Ramadan.
"Cumanya, sudah tentu ada sedikit ubah suai ke atas program latihan dan waktu untuk berlatih,” katanya.
Pertengahan bulan ini, Azizulhasni yang mengalami kecederaan semasa sesi latihan terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan saingan dalam perlumbaan Piala Negara-Negara UCI di Kaherah, Mesir.
Sebelum itu, dia yang kembali ke trek pada Februari lalu selepas rehat panjang susulan pembedahan berkaitan jantung berjaya meraih pingat perak dalam acara keirin saingan Piala Negara-Negara UCI di Jakarta, Indonesia.