DUNGUN - Seorang pemandu lori maut manakala seorang lagi cedera parah dalam kemalangan melibatkan dua buah lori di kilometer (KM) 372 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), Bukit Besi - Ajil di sini pada Khamis.
Nahas berlaku kira-kira jam 8.35 pagi itu menyebabkan pemandu lori kontena, Ibrahim Md Zali, 52 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharuddin Abdullah berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila lori kontena dipandu mangsa dilanggar dari belakang oleh sebuah lori tangki ketika menukar lorong secara tiba-tiba.
"Insiden itu menyebabkan lori kontena terbabit terbabas lalu melanggar penghadang jalan sebelum terbalik manakala sebuah lagi lori (lori tangki) terbabas ke dalam gaung," katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.
Jelas beliau, difahamkan ketika kejadian lori berkenaan dalam perjalanan dari arah Pahang menghala ke Kuala Terengganu.
Menurut Baharuddin, pemandu lori tangki iaitu Amir Firdaus Che Abdullah, 24 patah pinggang dan cedera kaki kiri.
"Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut sementara mangsa yang cedera dihantar ke hospital yang sama.
"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.