SHAH ALAM - Pembeli diingatkan mengamalkan sikap 'perhati dan pilih' semasa membeli makanan bagi memastikan juadah dibeli selamat untuk dimakan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, pengguna yang bijak akan memilih gerai bersih dan diusahakan peniaga yang mengamalkan pengendalian makanan baik.
Menurutnya, bagi mengelakkan risiko keracunan makanan, pengguna perlu memilih makanan yang masih panas, segar dan tidak terdedah.
"Sentiasa amalkan 'Lihat, Hidu dan Rasa' sebelum makan untuk mengelakkan keracunan makanan.
"Hebahan mengenai panduan berkaitan keselamatan makanan beserta dengan QR Code boleh diperolehi melalui media sosial Facebook JKNS atau portal rasmi dan laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di http://fsq.moh.gov.my.
"Pengguna turut disarankan untuk menyalurkan maklumat berkaitan premis kotor atau sebarang aduan berkaitan produk makanan atau premis penjualan makanan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA)," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, JKNS bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan Ops Keselamatan Makanan di bazar Ramadan dan Ops Perayaan - Hari Raya Puasa bagi memastikan keselamatan makanan yang dijual sepanjang Ramadan.
Katanya, dianggarkan 232 lokasi Bazar Ramadan melibatkan 15,593 tapak bazar dan seramai 46,779 orang pengendali makanan di Selangor.
"Aktiviti pemeriksaan ini dijalankan secara bersasar seperti yang dinyatakan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009, Bahagian IV - Pengendali makanan ; Bab 1 - Latihan, pemeriksaan perubatan dan keadaan kesihatan, pakaian dan kebersihan diri pengendali makanan.
"Notis 32B, Akta Makanan 1983 akan dikeluarkan sekiranya pengendali makanan tidak mematuhi keperluan tersebut," katanya.
Selain itu katanya, pensampelan makanan Ready-To-Eat (RTE) yang berisiko tinggi juga dijalankan dan jenis analisa adalah mikroorganisma bagi menjamin keselamatan makanan kepada pengguna.
"Sekiranya keputusan dalam perakuan juruanalisis didapati melanggar, tindakan penguatkuasaan akan diambil
" Ia adalah selaras dengan keperluan dalam Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya," katanya.
Mengenai Operasi Perayaan-Hari Raya Puasa pula, beliau berkata, pemeriksaan melibatkan produk makanan seperti makanan berbungkus dan bertin di pasaran.
"Produk makanan yang tidak mematuhi Peraturan-Peraturan Makanan 1985 akan disita dan disusuli dengan pengeluaran notis 32B, Akta Makanan
1983.
" Pemeriksaan dijalankan adalah termasuk kehendak pelabelan Akta Makanan 1983, penggunaan pembungkusan dan makanan yang telah tamat tarikh luput serta
bungkusan makanan yang rosak," katanya.