Tanah Rizab Melayu di Perak tunjuk trend meningkat - Saarani

Iklan
Laporan Sinar Harian pada Rabu mengenai Tanah Rizab Melayu menurun di Kedah, Perak dan Kuala Lumpur. Saarani (kanan).

IPOH - Kerajaan Perak sentiasa berusaha meningkatkan keluasan Tanah Rizab Melayu di negeri ini bagi memastikan kadar 50 peratus keluasan dicapai.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini Pejabat Tanah dan Galian sedang mewartakan sejumlah 996.04 hektar lagi kawasan Tanah Rizab Melayu yang akan diberikan hak milik kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehingga tahun 2022 sejumlah 953,075 hektar Tanah Rizab Melayu yang telah diwartakan di Perak.

"Daripada jumlah data yang dikumpul sejak tahun 1947, status Tanah Rizab Melayu di Perak menunjukkan trend peningkatan.

Iklan

"Bagaimanapun, jika terdapat keluasan tanah tertentu yang terpaksa dibatalkan status rizab Melayu oleh kerana pembangunan, harga tanah seluas yang sama atau lebih akan diwartakan semula sebagai Tanah Rizab Melayu," katanya kepada pemberita selepas mengedarkan bubur lambuk di kawasan Rumah Pangsa Jalan Ashby di sini pada Khamis.

Saarani (tiga dari kanan) menyerahkan bubur lambuk kepada orang ramai yang melalui kawasan Rumah Pangsa Jalan Ashby, Ipoh pada Khamis.

Saarani berkata, pemansuhan Tanah Rizab Melayu tidak dibuat sewenang-wenangnya sebaliknya dilakukan untuk tujuan pembangunan kemudahan awam seperti pembinaan hospital, sekolah dan sebagainya.

Iklan

Menurutnya, keluasan Tanah Rizab Melayu di Perak ketika ini menghampiri 50 peratus yang disasarkan sebagai menjunjung Wasiat Raja-Raja Melayu.

Katanya, tempoh penggantian Tanah Rizab Melayu yang telah dimansuhkan juga tidak mengambil masa yang lama selepas tanah yang mahu diganti dikenal pasti.

Pada Rabu, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad memaklumkan jumlah tanah rizab Melayu di tiga negeri mencatatkan penurunan antara tahun 2021 dan 2022.

Tiga negeri berkenaan melibatkan Kedah, Perak dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran) yang memintanya menyatakan berapa jumlah keluasan asal Tanah Rizab Melayu mengikut negeri di Semenanjung dan rancangan kerajaan untuk mengatasi isu keluasan yang semakin berkurangan.