SHAH ALAM - Pusat Pilihan Pengguna (CCC) menyokong penuh langkah kerajaan untuk mengecualikan produk cecair atau gel nikotin vape daripada Akta Racun 1952.
Wakilnya, Tarmizi Anuwar berkata, langkah tersebut akan memberi laluan kepada cecair vape yang mengandungi nikotin dan bukan tertakluk kepada Akta Racun yang dilihat tidak sesuai dengan produk berkenaan.
"Pengecualian cecair vape yang mengandungi nikotin daripada Akta Racun mesti dilengkapkan dengan pengenalan undang-undang atau pindaan kepada undang-undang sedia ada untuk membolehkan produk dikawal dengan cara yang bijak dan bersepadu.
"Jika tidak, pengguna hanya akan terus mengakses produk yang tidak terkawal,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Tambahnya, dengan rangka kerja kawal selia yang teratur, pengguna akan mempunyai akses kepada produk yang mematuhi piawaian seperti di negara lain yang mempunyai peraturan mengenai vape.
Jelasnya, pengguna negara ini telah mengakses produk tidak terkawal selama bertahun-tahun dan pembaharuan mesti dilakukan segera.
"Peraturan juga membolehkan usaha untuk mencegah vape terhadap golongan bawah umur melalui peraturan pintar dan penguatkuasaan sekatan umur di tempat jualan serta menggunakan teknologi pengesahan umur moden untuk jualan dalam talian.
"Akses kepada produk vape terkawal juga bertindak sebagai pendorong kepada perokok untuk beralih kepada alternatif yang kurang berbahaya,” ulasnya.
Tambahnya, di peringkat global telah menyaksikan penurunan kadar merokok akibat vape dengan peraturan yang ditetapkan, namun Malaysia juga mampu mencapai matlamat tersebut sekiranya undang-undang yang berkaitan dilaksanakan.
Jelasnya, idea memperkenalkan Generasi Penamat (GEG) yang dicadangkan oleh Menteri Kesihatan sebelum ini sukar untuk dilaksanakan dan kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menjalankan kajian mendalam serta menilai kesan sebelum membuat sebarang keputusan.
"Kerajaan harus menubuhkan satu jawatankuasa yang komprehensif terdiri daripada pakar kesihatan awam bebas tempatan dan antarabangsa dan pakar yang berkaitan agar Malaysia berjaya menurunkan kadar merokok tanpa 'generasi penamat' yang berat,” katanya.