Ikan tongkol RM5 licin tak sampai tiga jam

Iklan
Orang ramai yang datang bagi mendapatkan ikan tongkol pada harga RM5 seekor.

MARANG - Tidak sampai tiga jam, sebanyak 400 kilogram (kg) ikan tongkol habis dijual kepada penduduk pada harga RM5 seekor melalui Program Jualan Sejahtera di Kampung Bukit Kayu Kelat, Pengkalan Berangan, di sini pada Khamis.

Selain tawaran ikan tongkol 50 peratus lebih rendah dari harga pasaran, program anjuran Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan itu turut mengagihkan kangkung dan terung percuma kepada pelanggan yang datang.

Iklan
Iklan

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, jualan yang sepatutnya bermula jam 8 pagi terpaksa diawalkan berikutan sambutan menggalakkan daripada penduduk yang mahu mendapatkan ikan pada harga murah.

"Melihat sambutan baik ini, pembelian terpaksa dihadkan kepada dua ekor ikan sahaja bagi setiap keluarga.

Iklan

"Inisiatif ini diadakan bertujuan untuk meringankan beban penduduk yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan dianggarkan sebanyak 200 keluarga di sekitar Pengkalan Berangan mendapat manfaat dari program ini,” katanya.

Menurut Sulaiman, sebanyak 130kg sayur kangkung dan terung yang diberikan percuma untuk dimasak sebagai juadah tambahan ketika berbuka puasa juga habis dalam tempoh tersebut.

Iklan
Sulaiman (tengah, baju putih) meninjau Program Jualan Sejahtera yang menawarkan ikan tongkol pada harga RM5 seekor pada Khamis.

Beliau berkata, berdasarkan perkembangan positif itu pihaknya merancang untuk adakan lebih banyak program seumpama itu bagi membantu mengurangkan kos perbelanjaan penduduk di bulan Ramadan.

"Saya gembira melihat respon positif daripada rakyat. Selain jualan sejahtera, kita juga melaksanakan beberapa program lain sepanjang Ramadan ini termasuk agihan bubur lambuk dan bantuan buat asnaf.

"Selepas ini, kita akan adakan majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim terpilih di sekitar DUN Pengkalan Berangan sebagai usaha menceriakan mereka menyambut Ramadan dan Syawal tidak lama lagi,” katanya.