PENGENDALI Harimau Muda Bawah 17 tahun (B-17) negara, Osmera Omaro berkata, anak buahnya tidak akan mengambil mudah saingan Kumpulan A Piala Asia B-17 2023 di Thailand, Jun ini.
Malah menurutnya, ketiga-tiga pasukan lawan termasuk tuan rumah Thailand, Yaman dan Laos mempunyai kekuatan masing-masing.
Tegasnya, skuad negara bakal berdepan tuan rumah Thailand yang mempunyai kelebihan beraksi di tempat sendiri.
"Saya juga mengetahui mengenai Yaman, mereka sangat mengagumkan semasa kelayakan manakala Laos memang pasukan yang akan buat orang susah kerana pemain Laos mempunyai disiplin permainan yang baik.
"Kita selesa main dengan pasukan Asia dan Asia Tenggara. Jadi, kita ada peluang yang baik, kita kena ambil kesempatan undian ini dan cuba melangkah sejauh yang boleh,” katanya menerusi rakaman audio yang dikongsi kepada pemberita pada Khamis.
Sebelum itu, peluang skuad Harimau Muda B-17 untuk ke Piala Dunia B-17 di Peru cerah, apabila diundi bersama dua pasukan Asia Tenggara dalam Kumpulan A Piala Asia B-17 2023.
Harimau Muda dijangka tidak berdepan masalah melepasi peringkat kumpulan apabila cabaran sebenar hanya bakal dihadapi pada pusingan suku akhir di kejohanan berprestij itu.
Skuad muda negara dijangka bertemu antara tiga pasukan terkuat benua ini yang berada dalam Kumpulan B - Korea Selatan, Qatar, Iran atau Afghanistan, sekiranya muncul juara atau naib juara peringkat kumpulan.
Sebagai rekod, empat pasukan terbaik pada Piala Asia B-17 2023 akan mendapat slot ke Piala Dunia B-17 2023 di Peru, hujung tahun ini, sebagai wakil Konfederasi Bola sepak Asia (AFC).
Kumpulan C pula menyaksikan pasukan China, Arab Saudi, Australia dan naib juara edisi lepas, Tajikistan.
Juara bertahan Jepun pula mengetuai Kumpulan D bersama-sama Vietnam, India dan Uzbekistan.
Pencapaian terbaik Harimau Muda B-17 negara adalah mara suku akhir pada 2014 apabila tumpas kepada Australia 1-2 di Bangkok.
Harimau Muda mencipta sensasi apabila melangkah ke Piala Asia selepas
membelasah Indonesia 5-1 pada perlawanan terakhir Kumpulan B Kelayakan Piala Asia B-17 di Stadium Pakansari, Indonesia pada Oktober lalu.