Jelajah Mansuh AUKU didakwa tidak dapat kelulusan UiTM

Iklan
Surat tular dipercayai daripada seorang dekan kepada para pelajarnya di sebuah fakulti di UiTM berhubung pemakluman penyertaan pelajar dalam sebarang program yang tiada kelulusan universiti.

SHAH ALAM - Program Jelajah Mansuh Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dan Dialog Intern Bukan Buruh Percuma di Dataran Cendekiawan, UiTM Shah Alam pada jam 10 malam ini didakwa tidak mendapat kelulusan universiti.

Berdasarkan sepucuk surat tular dipercayai daripada seorang dekan kepada para pelajarnya di sebuah fakulti di universiti berkenaan, mereka diminta agar tidak terlibat dengan program tersebut yang dijadual turut dihadiri Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Iklan
Iklan

"Adalah dimaklumkan bahawa pelajar hanya dibenarkan untuk menyertai mana-mana program dalam kampus atau fakulti yang telah mendapat kelulusan universiti.

"Ini adalah selaras dengan Pemakluman Penyertaan Pelajar Dalam Sebarang Program Yang Tidak Mempunyai Kelulusan Universiti yang dikeluarkan oleh Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar bertarikh 28 Mac 2023,” katanya dalam surat tersebut yang bertarikh 30 Mac 2023.

Iklan

Pada Rabu, Ikatan Mahasiswa Demokratik Malaysia akan menganjurkan siri Jelajah Mansuh AUKU bertajuk Intern Bukan Buruh Paksa.

Sesi tersebut akan diketuai oleh Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Iklan

Bagaimanapun, difahamkan permohonan untuk menganjurkan program itu telah ditolak pihak pengurusan UiTM Shah Alam.

Sementara itu, dalam surat sama dekan tersebut turut memaklumkan, sebarang penganjuran atau penglibatan dalam mana-mana program termasuk yang berkaitan politik dalam kampus adalah dibenarkan setelah mendapat kebenaran bertulis daripada universiti.

Menurutnya, dalam hal tersebut, pihak fakulti tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang akibat pelanggaran yang memungkinkan satu tindakan tatatertib diambil kepada pelajar yang terlibat.

"Peringatan ini diberikan selaras dengan Seksyen 4(1)1) dan Seksyen 14(2) Akta Universiti Teknologi Mara 1976 serta Seksyen 10(5) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976,” ujarnya.

Tambah beliau, pihak fakulti amat berharap agar pelajar-pelajarnya menggunakan saluran yang betul dan mematuhi prosedur serta garis panduan yang sewajarnya dalam apa jua perkara, selain menjaga nama baik universiti dan fakulti demi kesejahteraan semua.