SELEPAS seminggu umat Islam berpuasa, sudah kedengaran bermacam-macam rungutan sama ada menerusi akhbar atau media sosial mengenai harga makanan di bazar Ramadan yang bukan saja tidak munasabah, malah kualiti teruk dan menyedihkan.
Bukan perkara baharu kerana setiap tahun ada sahaja pengunjung bazar Ramadan ‘terkena’, misalnya terbeli roti john nipis tanpa isi ayam dengan harga RM8 sepertimana tular di media sosial.
Sedangkan, roti john yang dijual di bazar Ramadan pada tahun lalu boleh didapati dengan harga serendah RM4.50 sebungkus, tetapi kali ini rata-rata peniaga mula menjual juadah berbuka puasa popular dalam kalangan orang Melayu itu pada harga RM7 hingga RM12.
Muka depan Sinar Harian pada Selasa lalu turut melaporkan mengenai tindakan segelintir peniaga melampau yang dikesan masih menjual makanan tidak berkualiti serta tidak setimpal harga termasuklah martabak hangit, ayam busuk dan karipap inti angin.
Bukan sahaja kualiti mengecewakan, tinjauan juga mendapati rata-rata harga makanan berbuka puasa dijual lebih tinggi berbanding tahun lalu menyebabkan pengunjung yang berkeluarga terpaksa berbelanja lebih RM50 hanya untuk seekor ayam golek, sebiji roti john dan sebungkus air tebu.
Situasi kenaikan harga makanan tersebut secara tidak langsung menunjukkan nilai wang negara kita ketika ini semakin mengecil hinggakan harga air minuman yang dahulunya cuma RM2 atau RM3 sebungkus kini telah naik berganda.
Disebabkan situasi itu, baru-baru ini tular di media sosial mengenai kisah seorang lelaki yang terpaksa membatalkan hasratnya membeli minuman soya selepas terkejut melihat ia dijual pada harga RM6 sebungkus.
Lelaki itu kemudian singgah ke sebuah pasar raya dan membeli minuman soya kotak satu liter pada harga RM2.09 sahaja.
"Masuk balik kereta singgah sebuah pasar raya. Seliter (air kotak soya) RM2.09, (beli) ais sebungkus besar RM1.50. Dijamin sedap, selamat dan berlogo halal,” tulis lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Khairul Azri menerusi ciapan di Twitter.
Apa yang menarik susulan kisah lelaki tersebut, sebuah portal berita melaporkan pada Rabu bahawa peniaga minuman soya yang dimaksudkan telah menurunkan harga jualannya kepada RM4 sebungkus.
Situasi berkenaan menunjukkan bahawa kuasa beli ada di tangan pengguna dan boleh mengawal harga barangan di pasaran.
Contohnya, dalam kes minuman soya berkenaan, apabila ia tersebar di media sosial, peniaga segera bertindak menurunkan harga.
Mengambil pengajaran daripada kisah tersebut, sebenarnya jika ada peniaga yang tamak dengan meletakkan harga melampau dan tidak munasabah, pengguna boleh sahaja memboikot dengan tidak melakukan pembelian. Apabila jualan tidak laku, pastinya peniaga akan bertindak menurunkan harga pada kadar yang berpatutan.
Cara itu adalah lebih baik daripada terus membeli walaupun sudah tahu harganya mahal, tetapi kemudian merungut dan memuat naik di media sosial.
Sewa tinggi
Pun begitu, pengguna juga memahami terdapat segelintir peniaga terpaksa menaikkan harga kerana berdepan kenaikan harga bahan mentah serta sewaan tapak bazar Ramadan yang tinggi.
Dua faktor kenaikan harga makanan berkenaan dikenal pasti Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) seperti yang dilaporkan pada Rabu.
Berikutan itu, Presiden FOMCA, Datuk Dr Marimuthu Nadason meminta pengguna tidak menuding jari kepada penjual semata-mata kerana menaikkan harga makanan.
"Kita perlu faham konsep bekalan dan permintaan. Jika permintaan tinggi tetapi bekalan kurang, maka tidak hairanlah para peniaga menaikkan harga juadah.
"Jadi untuk tidak memberi bebanan kepada rakyat, kerajaan perlu menyediakan bahan mentah yang mencukupi di negara kita sebelum kita mengeksport hasil makanan ke luar negara,” ujar beliau.
Walau apa pun, untuk menangani masalah tersebut, kerajaan menerusi agensi berkaitan perlulah agresif memastikan bekalan mencukupi lebih-lebih lagi ketika menjelang sambutan Aidilfitri tidak lama lagi.
Pada masa sama, peniaga juga perlu lebih bertimbang rasa dan tidak memikirkan keuntungan semata-mata dengan mengambil kesempatan menekan pengguna.
* Raiham Mohd Sanusi ialah wartawan Sinar Harian