SHAH ALAM - Rambang mata dan terlalu mengikut nafsu dalam berbelanja menyebabkan ramai dalam kalangan rakyat yang terpaksa mengeluarkan duit lebih ketika membeli di bazar Ramadan.
Justeru, Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Dr Mohamad Fazli Sabri menasihatkan pengguna agar lebih bersederhana dalam berbelanja dan mengehadkan perbelanjaan.
Beliau turut mengakui harga makanan di bazar Ramadan agak ‘luar biasa’, namun ia mampu dikawal jika orang ramai lebih berpada-pada dalam berbelanja.
Sebagai contoh, satu tepung pelita ada yang mencecah RM1, luar biasa harganya. Kita faham harga barang mentah agak mahal, peniaga mungkin tidak ada cara lain selain menaikkan harga.
"Cuma, harganya ada yang agak melampau. Kita tahu bulan Ramadan adalah bulan yang baik untuk mendapatkan keuntungan, tapi peniaga juga perlu meletakkan harga yang agak munasabah supaya tidak membebankan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rungutan orang ramai mengenai harga di bazar Ramadan yang tinggi ketika ini.
Jelas Mohamad Fazli, bagi mereka yang bekerja, bazar Ramadan sangat membantu kerana ramai yang tidak sempat untuk memasak kerana waktu yang sangat terhad.
Justeru, beliau menasihatkan golongan tersebut untuk merancang bajet dengan lebih sistematik dan tidak berlebihan dalam berbelanja.
"Mungkin mereka boleh beli lauk untuk berbuka dan sahur seperti satu jenis sayur dan satu lauk yang lain, nasi pula boleh masak sendiri.
"Kuih mungkin beli sejenis sahaja kerana biasanya waktu berbuka puasa, kita tak makan banyak sangat," katanya.