BACHOK - Cuaca panas terik sepanjang seminggu Ramadan di negeri ini memberi rezeki kepada seorang wanita apabila ikan kering yang dihasilkan laris lebih 50 kilogram (kg) setiap hari.
Pengusaha ikan kering itu, Hazuana Mohd Nor, 49, berkata, keadaan sejak dua minggu lalu tersebut membantu ikan yang dijemur cepat kering hanya dalam masa dua hari.
"Musim tengkujuh baru-baru ini tak dapat berniaga terus. Ikan pun tak ada.
"Sekarang bekalan ikan sudah mula banyak dan dapat dikeringkan sehingga 100kg pada setiap hari,” katanya ketika ditemui di Kampung Perupok di sini pada Khamis.
Ibu enam anak itu berkata, antara jenis ikan yang digunakan ialah cencaru, gelama, pelata, layur dan kerisi yang diambil dari pangkalan Kemasin, Tok Bali, Pasir Puteh serta Kuantan, Pahang.
"Saya menggunakan dua pekerja untuk membantu membersihkan ikan sebelum dilumur dengan garam dan dibiarkan semalaman serta kemudian dijemur di bawah terik matahari.
"Selain ikan kering, saya juga menghasilkan ikan bekok menggunakan kerisi, kerapu dan cencaru,” ujarnya.
Menurut Hazuana yang menjalankan perusahaan itu sejak 10 tahun lalu, ikan-ikan yang dihasilkannya tersebut dikurangkan masin untuk memberikan rasa yang lebih sedap ketika dimakan.
"Saya hanya menggunakan 20 kg garam dalam sebulan untuk peram ikan supaya tidak menjadi terlalu masin.
"Ada juga ikan kering mahal iaitu jenis gelama sungai yang dijual RM60 sekilogram dan mendapat permintaan daripada pelanggan,” katanya.