SHAH ALAM - Kerajaan digesa mengutamakan produk dan industri tempatan dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020, berbanding mengagungkan produk luar.
Pengarah Urusan Les' Copaque Production Sdn Bhd, Burhanuddin Md Radzi berkata, kerajaan perlu memanfaatkan sepenuhnya produk tempatan yang pelbagai segmen bagi menarik pelancong luar melihat keunikan yang dimiliki negara ini.
"Jika mahu gunakan animasi (untuk dijadikan antara produk promosi TMM), jangan agung-agungkan animasi luar. Animasi kita banyak.
"Terbukti apabila kita buat karnival Upin Ipin, pasti sambutannya luar biasa baik pengunjung dalam negara dan luar negara. Tetapi kerajaan tidak nampak semua itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Balai Seni Negara, Datuk Rashidi Hasbullah yang dilaporkan bercadang mengadakan pameran lukisan bertemakan Doraemon sempena TMM 2020.
Dalam pada itu, Burhanuddin berkata, pihaknya pernah mengusulkan untuk menjadikan animasi tempatan termasuk Upin Ipin sebagai bahan promosi TMM sebelum ini dan untuk TMM 2020, namun ditolak.
"Kita sudah banyak kali usulkan kepada kementerian mengenai cadangan itu, tetapi letih dan kecewa kerana alasan sering diberikan adalah tiada bajet.
"Kerajaan dahulu dan sekarang sama sahaja reaksinya. Tetapi bila bawa masuk artis luar, ada pula bajetnya kerana artis luar itu pasti mahal bayarannya,” jelasnya.
Malah katanya, produk tempatan punyai kelebihan sendiri untuk dipromosikan kepada luar dalam TMM.
"Kita punya produk seperti gunung dan pantai cantik, animasi ada, tarian ada dan makanan semua unik. Gunakan semua itu untuk tarik pelancong luar.
"Filem Upin Ipin Keris Siamang Tunggal juga terpilih untuk ditayangkan di China kerana kandungan dan pengajarannya. Orang luar lebih pandai menilai berbanding dalam negara sendiri,” katanya.