SHAH ALAM - Bungkusan yang disyaki berisi ubat gigi yang dialamatkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini tidak mengandungi ganja.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, pihaknya mengesahkan pes ubat gigi tersebut adalah tidak mengandungi ekstrak ganja dan merupakan pes ubat gigi biasa.
"Ubat gigi berkenaan mengandungi pes biasa tidak terdapat sebarang ekstrak ganja atau bahan terlarang lain.
"Keputusan ini adalah berdasarkan ujian makmal yang dijalankan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Jumaat.
Katanya, ketika ini pihaknya masih mengesan pengirim kedua parcel ini.
"Kita percaya kedua parcel ini dihantar oleh individu yang sama, maklumat berkaitan individu ini telah diperolehi dan usaha untuk menangkap suspek sedang dijalankan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof pada Isnin memaklumkan polis menerima laporan dibuat Bahagian Keselamatan Pusat Pentadbiran Kerajaan Putrajaya mengenai panggilan yang diterima memberitahu terdapat satu bungkusan atas nama dua ahli politik.
Wan Kamarul Azran berkata, bungkusan itu disyaki mengandungi barang terlarang memandangkan sebuah pejabat kerajaan di Putrajaya turut menerima bungkusan mengandungi daun ganja, minggu lalu.