Lelaki warga emas didakwa perdaya dua lelaki

Iklan
Mohd Logan ketika hadir di mahkamah.

SEREMBAN - Seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan memperdayakan mangsanya bagi urusan mendapatkan pekerja asing melalui program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) membabitkan kerugian RM63,000, pada 2021.

Tertuduh, Mohd Logan Abdullah, 68, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kertas pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Majistret Yusna Khadijah Md Yusop.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdayakan seorang lelaki berusia 50 tahun dengan menjadi ejen mendaftarkan warga asing di bawah program RTK dan sengaja mendorong lelaki itu untuk membuat bayaran berjumlah RM63,000 bagi urusan tersebut.

Kesalahan itu dilakukan pada Mac 2021 sehingga 25 September 2021 di Green Street Homes, Seremban 2, di sini.

Iklan

Berikutan itu tertuduh telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang mensabitkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Nik Nur 'Aqilah Syarfa Nik Zaidi mencadangkan wang jaminan ditetapkan sebanyak RM6,000.

Iklan

Peguam, Jayaprakash Rao merayu anak guamnya diberi jaminan rendah atas alasan tertuduh perlu menanggung isteri serta tiga anak selain mempunyai masalah jantung dan kini sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN).

Sementara itu, di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh turut berhadapan dengan tuduhan memperdayakan seorang lelaki berusia 49 tahun dalam urusan mendapatkan pinjaman peribadi daripada bank dan berkaitan mendapatkan pinjaman kereta.

Mangsa telah memasukkan cek berjumlah RM1,400 ke atas nama tertuduh namun dia tidak akan menyerahkan wang tersebut sekiranya tidak diperdayakan sedemikian.

Kesalahan yang turut didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan di Green Street Homes 1, Seremban 2, di sini pada 29 Oktober 2005.

Majistret Yusna Khadijah Md Yusop menetapkan jaminan RM2,500 dengan seorang penjamin dan sebutan semula kes 16 Mei depan.