SHAH ALAM - Cadangan untuk menyerap petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa pencen boleh dilaksanakan hanya jika ia digantikan dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Bagaimanapun Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Muruga Raj Rajathurai berkata, pihaknya lebih mengutamakan jawatan tetap untuk semua sebaiknya diberikan mengikut kaedah semasa.
"Kami akan mengalu-alukan syor ini hanya jika ia digantikan dengan caruman KWSP.
"Malah, jawatan tetap dengan caruman KWSP telah dicadangkan oleh MMA kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 2019 semasa rundingan untuk mendapatkan lebih banyak jawatan tetap untuk doktor kontrak.
"Kami faham bahawa skim pencen adalah beban yang berat tetapi dana untuk persaraan mesti didesak,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Media pada Khamis melaporkan, KKM sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerap petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa diberikan pencen.
Menurut Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa, ia bertujuan menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada, seterusnya mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini yang mencecah RM29.1 bilion pada 2021.
Beliau menjelaskan, kerajaan berdepan dengan bebanan skim berpencen dengan nilai sebanyak RM3.1 bilion pada 2011, kemudian meningkat kepada RM29.1 bilion pada 2021 dan nilai itu kemungkinan akan terus meningkat.
Dalam pada itu, Dr Muruga turut berpandangan, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen juga seharusnya menunjukkan kepimpinan melalui teladan dengan menukar skim pencen mereka kepada caruman KWSP tunggal jika skim itu terlalu membebankan.
"Sebelum ini terdapat laporan bahawa seorang ADUN atau ahli Parlimen boleh memperoleh pencen daripada pelbagai aliran daripada berkhidmat di beberapa jawatan negeri atau persekutuan,” katanya.