Sanusi pertahan dakwaan, mahu pastikan LIMA lancar

Iklan
Muhammad Sanusi

ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan dakwaannya berhubung arahan Kabinet menghalang beliau menghadiri majlis kerajaan Persekutuan, termasuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23).

Beliau berkata, ia bukan suatu tuduhan bagi mencalarkan imej kerajaan Persekutuan, sebaliknya dibuktikan dengan kewujudan arahan bertulis.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah itu tidak dapat mendedahkan bukti berkenaan disebabkan ia diklasifikasikan sebagai dokumen sulit.

"Pegawai kanan sebuah kementerian tunjuk surat arahan kabinet itu kepada Setiausaha Sulit Kanan saya dalam mesyuarat di Langkawi. Sudah tentulah surat berkenaan tidak dapat dikongsi atau sebar kerana kertas arahan tersebut dikategorikan sulit,” katanya di sini pada Jumaat.

Iklan

Muhammad Sanusi jelaskan, mesyuarat terbaharu itu juga adalah untuk menyusun semula jadual acara kementerian berkenaan di LIMA supaya kehadiran Menteri Besar Kedah digantikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK).

Pada Khamis, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan tiada sebarang surat rasmi diberikan kepada Menteri Besar Kedah itu berhubung larangan beliau menghadiri program kerajaan Persekutuan.

Iklan

Ahmad Zahid berkata, sekiranya dakwaan itu benar, Muhammad Sanusi diminta menunjukkan surat pekeliling arahan berkenaan.

Ia susulan kenyataan Muhammad Sanusi menerusi Facebook miliknya, mendakwa dilarang menyertai sebarang majlis anjuran kerajaan Persekutuan, termasuk hadir acara LIMA’23 pada 23 hingga 27 Mei depan.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi tegaskan, kerajaan negeri akan memastikan semua acara di LIMA’23 akan datang berjalan lancar dan sempurna.

"Antaranya, Syarikat Air Darul Aman (SADA) akan pastikan bekalan air bersih ke Langkawi dalam tempoh acara berlangsung tidak terganggu walaupun akan berdepan peningkatan penggunaan secara mendadak,” ujarnya.

Menurutnya lagi, semua infrastruktur bekalan air terutama Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Baru, jajaran paip dasar laut ke Langkawi serta Empangan Saga dan Bukit Malut di Langkawi disenggarakan dengan baik agar bekalan air dapat dibekalkan dengan sempurna.

"Semua agensi kerajaan negeri khususnya di Langkawi telah siap siaga sepenuhnya sebagai tuan rumah LIMA’23.

"Kepada semua syarikat, agensi, pegawai kementerian, delegasi dalam dan luar negara serta pengunjung, kami akan pastikan kunjungan anda ke Langkawi Permata Kedah menjadi kunjungan terindah sepanjang hayat,” katanya.