Bekas ketua polis jadi peguam

Iklan
Mior Faridalathrash (tengah) bersama Tun Mohamad Ammar Aziz selaku pengajar (kiri) dan Peguam Ahmad Yani Aminuddin.

IPOH - Bekas Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid pada Jumaat diterima sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya.

Prosiding penerimaan masuk Mior Faridalathrash, 61, yang telah berkhidmat selama 40 tahun sehingga bersara dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu disempurnakan di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Ipoh, Datuk Abdul Wahab Mohamed.

Iklan
Iklan

Petisyen untuk diterima masuk sebagai peguam bela dan peguam cara itu tidak mendapat bantahan daripada Jabatan Peguam Negara, Majlis Peguam dan Jawatankuasa Peguam Negeri Perak.

Ketika ditemui, Mior Faridalathrash yang ditemani isterinya, Datin Nor Qhadijah Abdul Wahab berkata, gabungan pengalaman dalam pasukan polis dan pengetahuan undang-undang akan membantunya menjalankan tanggungjawab baharu itu dengan lebih baik.

Iklan

"Dalam bidang apa pun kita sebenarnya mencari keadilan. Apabila duduk dalam pasukan polis, kita bertindak untuk memastikan penugasan undang-undang dan penguatkuasaannya.

"Walaupun sebenarnya agak berat daripada penguatkuasaan ke guaman, namun saya akan sesuaikan diri bagi memastikan tugasan dan keadilan tercapai," katanya.

Iklan

Beliau yang menjawat jawatan Ketua Polis Perak sejak November 2020 hingga Ogos 2022 itu akan memulakan tugas sebagai peguam di Tetuan Badrul, Samad, Faik & Co.

Semasa berkhidmat dalam pasukan, Mior Faridalathrash telah melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dengan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang Dengan Kepujian.

Pada tahun 2012 pula, beliau telah memperoleh Ijazah Sarjana dalam Undang-Undang Harta Intelek dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Anak jati Perak kelahiran Kuala Kangsar itu kemudiannya memulakan latihan dalam kamar di bawah bimbingan Tun Mohamad Ammar Aziz dari Tetuan Ammar Aziz & Co.