Cuepacs gesa Akta Pencen 1980 tidak dipinda sewenangnya

Iklan
Adnan

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa supaya Akta Pencen 1980 tidak dipinda sewenangnya kerana dikhuatiri menyebabkan penjawat awam tidak lagi dibenarkan memilih skim tetap berpencen atau caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, Cuepasc menolak sebarang pindaan terhadap akta itu bagi membolehkan pelantikan kakitangan awam ke jawatan tetap terus diberikan caruman KWSP dilaksanakan.

Iklan
Iklan

"Sudah tentu langkah menyerap petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap dengan caruman KWSP ini akan melibatkan pindaan kepada Akta Pencen 1980

"Cuepacs bimbang pindaan Akta Pencen 1980 akan memberi kesan kepada semua penjawat awam di masa akan datang apabila mereka tidak lagi dibenarkan memilih skim tetap berpencen ataupun caruman KWSP," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Iklan

KKM pada Khamis dilaporkan sedang mengadakan perbincangan dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menyerapkan petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap tanpa diberikan pencen.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, ini bagi menangani bebanan tugas yang melebihi kapasiti sumber sedia ada serta untuk mengurangkan beban skim berpencen ditanggung negara ketika ini yang mencecah RM29.1 bilion pada 2021.

Iklan

Bagaimanapun, Adnan menegaskan, Cuepacs mengalu-alukan usaha atau inisiatif yang dilakukan KKM untuk menyerap petugas perubatan berstatus kontrak ke dalam sistem perjawatan tetap memandangkan sektor kesihatan negara kekurangan sumber manusia bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Akta Pencen 1980 memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada memilih skim pencen atau KWSP.

"Cuepacs berpandangan kerajaan tidak seharusnya memberi tumpuan kepada pegawai perubatan sahaja dalam soal kakitangan berstatus kontrak dalam KKM. Terdapat puluhan ribu lagi perjawatan dalam KKM dan juga kementerian lain yang juga berstatus kontrak dan menunggu masa untuk penamatan khidmat," ujarnya.

Adnan menambah, di KKM sendiri selain pegawai kesihatan berstatus kontrak, terdapat perjawatan lain yang kritikal masih berstatus kontrak seperti jururawat, penolong pegawai perubatan, penolong pegawai kesihatan persekitaran, pegawai kesihatan persekitaran, pembantu kesihatan awam, jururawat masyarakat, juru x-ray dan juruteknik makmal perubatan.

"Mereka ini juga berada di sektor yang kritikal serta perlu diberi perhatian yang sama oleh kerajaan. Sejak sekian lama Cuepacs berpendirian lantikan kontrak dalam kalangan penjawat awam, terutama dalam sektor kesihatan ini tidak sepatutnya diamalkan," ulas beliau.

Sementara itu, Adnan turut menyeru semua penjawat awam termasuk petugas di sektor kesihatan kekal fokus melaksanakan tugas dan tanggungjawab masing-masing kerana kegagalan dalam sistem penyampaian perkhidmatan awam akan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap penjawat awam dan kerajaan.

Katanya, setiap permasalahan timbul tidak wajar diterjemahkan dengan tindakan yang boleh menjejaskan tugas di sektor masing-masing.

"Seperti tindakan bermogok ia tidak menyelesaikan sebarang permasalahan malahan boleh mengakibatkan lebih banyak masalah terutama kepada rakyat yang mahukan perkhidmatan terbaik daripada penjawat awam," katanya.