KOTA BHARU - Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya yang tular di laman TikTok membawa tumbler jenama kopi terkemuka berharga RM1,800 ke sekolah rupa-rupanya seorang usahawan muda.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kubang Bemban, Pasir Mas itu menjual produk makanan tambahan yang dikenali sebagai BebyCurf.
Bercerita mengenai pembabitan dalam perniagaan itu, Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya, 14, berkata, ia bermula apabila dia diejek dengan gelaran 'gajah' oleh rakan-rakan sekolah disebabkan berbadan gempal.
Anak kelahiran Pasir Mas itu berkata, ejekan itu membuatkan dia nekad menurunkan berat badan selain tampil sihat.
"Memang badan saya 'berisi' sejak kecil lagi. Di sekolah rakan-rakan tidak pernah memanggil nama saya, tetapi lebih kepada gelaran gajah, gemuk dan banyak lagi.
"Semua itu membuatkan saya rasa geram, rimas dan sedih. Bila teringatkan perkara itu, saya beritahu ibu mahu turunkan berat badan," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di kediamannya di Taman Uda Murni, di sini pada Jumaat.
Menurut anak keenam daripada lapan beradik itu, ibunya, Bibi Hasnalinda Zainal Abidin telah mencadangkan dia mencuba satu produk makanan tambahan.
Ujarnya, selepas mencuba selama sebulan pada Jun lalu berat badannya itu turun 10 kilogram (kg).
Tambahnya, perkara tersebut bagaikan mimpi sehinggakan dia mahu berkongsi kelebihan produk tersebut kepada seluruh dunia.
Gadis berkulit putih itu berkata, tanpa menoleh ke belakang, dia memberitahu ibu untuk menjualnya BebyCurf.
"Tujuan asal bukan hendak menjana pendapatan, kerana saya tahu ramai yang senasib dengan saya di luar sana.
Ujar Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya dia terkejut mampu mencapai jualan sebanyak RM400,000 sejak berada di pasaran pada September tahun lalu.
"Sepanjang empat bulan, produk saya sudah mencecah jualan sebanyak itu.
"Melihat kepada nilai jualan, ibu dan ayah, Mustaman Che Yusof memberi dorongan supaya saya menunaikan tanggungjawab dengan mengeluarkan zakat.
"Alhamdulillah pada 23 Mac lalu saya telah membayar zakat perniagaan berjumlah RM10,000 kepada MAIK (Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan)," ujarnya.
Kata anak muda ini, bermula dari situ dia mula memasang angan-angan untuk mengeluarkan zakat lebih daripada angka tersebut dan membantu ramai orang.
Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya memberitahu, sampai sekarang dia tidak pernah terfikir ejekan yang diterima sebelum ini akan memberikan rezeki yang melimpah buatnya.
Katanya, dia memasang impian untuk mengembangkan cabang perniagaan dalam bidang kecantikan selepas ini.
Dalam perkembangan lain, Putri Mumtaz Sunnafis Luthfiya yang suka bersolek dan bergambar itu memberitahu dia turut bercita-cita menjadi anak seni iaitu pelakon.