KUALA LUMPUR - Rangkaian Kumpulan Suria KLCC melancarkan Kempen Hari Raya yang membawa pengunjung mengimbau suasana Aidilfitri berinspirasikan perkampungan nelayan di Pantai Timur untuk tahun ini.
Kempen itu akan berlangsung mulai 24 Mac sehingga 1 Mei 2023 berikutan sambutan Hari Raya yang akan jatuh pada 22 dan 23 April 2023.
Ketua Pegawai Esekutif dan Pengarah Esekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Andrew Brien berkata, dekorasi tahun ini disesuaikan untuk memberikan pengunjung cetusan detik kenangan silam selain menghadirkan rasa syukur dengan keindahan bersederhana yang dapat dirasai melalui kehidupan di kampung nelayan.
Katanya, reka bentuk Rumah Kampung tradisional menjadi titik tumpuan di laman Centre Court Suria KLCC.
"Sebagai destinasi utama dan terkemuka untuk membeli-belah di Kuala Lumpur, kempen ini merupakan pendekatan kami untuk membawa tradisi dan norma masyarakat Melayu untuk dipertontonkan buat pengunjung Suria KLCC yang majmuk dan berbilang bangsa,” kata ketika pelancaran Kempen Hari Raya di Suria KLCC pada Khamis.
Beliau berkata, pengalaman membeli-belah di Suria KLCC akan menjadi lebih istimewa dengan ganjaran dan penjimatan yang ditawarkan bermula 30 Mac sehingga 24 April ini.
Sementara itu katanya, menerusi inisiatif program kesedaran kesihatan mental yang masih berterusan, Suria KLCC akan menyumbangkan hasil penjualan 'Suria Ribbon Pin' bernilai RM10 kepada badan atau pusat pertubuhan bukan kerajaan yang mengendalikan gerak kerja kesihatan mental.
Replika pelita terbesar di Malaysia setinggi lebih 15 meter ditampilkan sekali lagi di laman Esplanade KLCC sempena Aidilfitri tahun ini.
Replika pelita itu berjaya menempa nama di dalam Malaysia Book of Records pada tahun lalu sebagai replika pelita terbesar dan tertinggi di Malaysia.
Dalam pada itu, Kemeriahan Aidilfitri dan ganjaran menarik turut dapat dinikmati oleh pengunjung Pusat Beli-Belah Alamanda dan Pusat Beli-Belah Mesra Mall di Kemaman, Terengganu.