Dosa buang bayi di masjid tetap sama: Mufti Pulau Pinang

Iklan
Dr Wan Salim

GEORGETOWN - Perbuatan membuang bayi merupakan dosa besar dalam agama Islam walaupun insan tidak berdosa itu dibuang di tempat suci seperti masjid.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, perbuatan tersebut tetap berdosa sama ada bayi itu ditinggalkan di dalam masjid, stesen bas atau dalam tandas.

Iklan
Iklan

Menurutnya, perasaan ingin orang yang bertanggungjawab menemui bayi yang dibuang adalah salah satu penyebab pelakunya membuang bayi di masjid.

"Di mana saja mereka buang (bayi), dosanya tetap sama. Dalam Islam, ia berdosa besar. Tak kira buang di mana pun, walaupun rumah ALLAH iaitu masjid.

Iklan

"Kemungkinan kerana didorong agar orang yang baik dan bertanggungjawab menjumpai bayi mereka, maka mereka memilih masjid untuk melakukan perbuatan keji itu," katanya ketika dihubungi tadi.

Wan Salim berkata, perbuatan terkutuk itu semakin menjadi-jadi di negara ini dan lebih membimbangkan kebanyakan yang terlibat beragama Islam.

Iklan

"Pelbagai pihak perlu menggalas tanggungjawab masing-masing supaya gejala membuang bayi tidak membarah dalam masyarakat. Semua pihak ada peranan masing-masing dan sudah tentu pihak berkuasa perlu bertanggungjawab untuk mencari jalan bagi mengatasi gejala ini supaya tidak terus merebak dan membarah dalam masyarakat.

"Saya amat sedih dengan gejala pembuangan bayi yang semakin kerap berlaku di negara ini. Lebih membimbangkan kebanyakan mereka yang terlibat dengan dengan gejala negatif ini adalah beragama Islam," katanya.

Tambahnya, menurut hukum Islam, pembuangan bayi merupakan satu dosa yang besar seperti yang difahami daripada firman ALLAH SWT dalam Al-Quran, surah Al-Israk, ayat 31.

"Saya ingin menasihatkan masyarakat Islam di negara ini supaya tidak terlibat dengan pergaulan bebas kerana ia antara faktor utama yang menyumbang kepada gejala pembuangan bayi.

"Pihak majikan terutama di sektor perkilangan perlu mengadakan program dan aktiviti keagamaan serta kerohanian supaya pelakuan maksiat dapat dibendung daripada terus merebak di kalangan masyarakat," katanya.