SHAH ALAM - Kerajaan dicadangkan agar menyemak kedudukan kebudayaan sebagai keseluruhan cara hidup dalam jentera pentadbiran kerajaan.
Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata, cadangan itu dibuat ketika ucapan perbahasan usul Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) yang mana, beliau menyentuh aspek yang berkaitan dengan pembangunan aspek dalaman, khasnya pendidikan, agama, kebudayaan dan perpaduan.
Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berkata, kerajaan perlu memberikan keutamaan kepada kebudayaan dalam kementerian yang berkaitan, bukan di belakang sektor pelancongan.
"Dahulu pernah ada Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KEKWA) yang menjurus kepada aspek penting tamadun negara.
"Jika masih dirasakan wajar kebudayaan dan pelancongan berada dalam satu kementerian, daripada segi semangat dan epistemologi, nama 'kebudayaan' perlu mendahului 'pelancongan' sebagai gambaran keseriusan mengangkat kebudayaan sebagai teras tamadun negara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Selain itu, Awang turut menyarankan penubuhan Pusat Tamadun Melayu di tengah-tengah ibu negara Kuala Lumpur.
Menurutnya, penubuhan itu mencerminkan tamadun bangsa Melayu sebagai bangsa teras di negara ini yang sejarah dan warisannya bermula belasan hingga puluhan ribu tahun lalu di Pentas Sunda yang kini dikenal sebagai Alam Melayu.
"Di samping itu, Pengisian Dasar Kebudayaan Kebangsaan (DKK), 1971 dan sejak tahun 2021 Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) perlu benar-benar terancang dalam program yang merentas semua sektor, melalui kementerian-kementerian lain, khasnya pendidikan, belia, agama dan peranan penting Kementerian Komunikasi dan Digital yang patut menjadi penyalur dan pengisi Dasar Kebudayaan Negara.
"Berkaitan dengan pemupukan kebudayaan negara dalam kalangan remaja dan belia, saya sarankan pelaksanaan semula program khidmat negara yang sekaligus untuk memperteguh patriotisme dan perpaduan golongan muda sebagai pelapis pemimpin, penjawat awam dan penggerak pembangunan negara dalam sektor lain," ujarnya.