KUALA TERENGGANU - Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dikatakan semakin sihat dan dapat meneruskan aktiviti hariannya selepas keluar dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini pada 19 Mac lalu.
Ia berdasarkan perkembangan terbaharu beliau melalui sekeping gambar yang dimuat naik seorang pengguna media sosial Facebook menggunakan nama pena Dean Al-Barakah pada Jumaat.
Foto menunjukkan Ustaz Azhar memandu kereta yang dikatakan dirakam di jambatan angkat di Kuala Terengganu itu menarik perhatian dan ramai mendoakan agar beliau terus sihat untuk meneruskan kuliah agama seperti biasa.
"Alhamdulillah, makin sihat doh (dah) Murabbi kita. Kami semua mendoakan semoga Ustaz Azhar Idrus diberikan kesihatan yang baik dan sentiasa dalam rahmat ALLAH SWT," tulis Dean Al-Barakah.
Sementara itu, menurut sumber rapat pendakwah itu, Ustaz Azhar sudah boleh keluar rumah sejak beberapa hari lalu untuk melakukan aktiviti harian.
Namun katanya, berdasarkan saranan doktor yang merawatnya di HSNZ sebelum ini, penceramah itu masih belum boleh mengadakan sebarang aktiviti ceramah.
"Beliau juga masih perlukan masa untuk membuat beberapa janji temu rawatan susulan dalam tempoh terdekat untuk memastikan kesihatannya pulih sepenuhnya.
"Alhamdulillah, setakat ini semua pihak memahami situasi beliau dan memberi ruang kepadanya untuk berehat daripada jadual yang terlalu sibuk,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat malam.
Sebelum ini, perkembangan mengenai penceramah bebas itu yang dilaporkan dimasukkan ke hospital tular di media sosial.
Pendakwah selebriti itu dimasukkan ke HSNZ pada 16 Mac lalu selepas dikatakan mengalami masalah kesihatan melibatkan paru-paru dan jantung.
Sepanjang dirawat di hospital beliau menerima kunjungan ramai termasuk daripada Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu’ Al-Banjari dan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang.