PERSEKUTUAN Bola Sepak Perancis (FFF) tidak membenarkan pengadil menghentikan perlawanan untuk membolehkan pemain Islam berbuka puasa pada bulan Ramadan, kata laporan media pada Jumaat.
Tidak seperti Liga Perdana Inggeris (EPL) yang membenarkannya, amalan itu tidak mematuhi statut Persekutuan Bola Sepak Perancis, lapor beberapa media berdasarkan e-mel yang dihantar kepada pengadil.
FFF mendakwa, perlawanan akan terganggu sekiranya pengadil memberhentikan perlawanan dan membenarkan pemain berbuka puasa.
"Ideanya ialah ada masa untuk segala-galanya. Masa untuk bersukan, masa untuk mengamalkan agama masing-masing," kata Ketua Suruhanjaya Pengadil FFF, Eric Borghini.
Dia berkata, FFF mendapati bahawa beberapa perlawanan peringkat amatur telah dihentikan untuk membolehkan pemain yang berpuasa berbuka seketika.
"Perkara itu tidak dibenarkan dalam peraturan," katanya, sambil menegaskan bahawa ia termasuk menghormati prinsip sekularisme dalam bola sepak.
EPL telah mengambil keputusan sebaliknya dan akan membenarkan perlawanan dihentikan sementara pada bulan Ramadan
Ditanya mengenai isu itu, jurulatih Nice Didier Digard berkata pada Jumaat bahawa beberapa pemain Islam dalam pasukan itu menyambut Ramadan tanpa sebarang masalah.
Walaupun katanya adalah baik jika Perancis membenarkan tempoh rehat seketika itu, dia menambah:"Tiada siapa yang peduli jika mereka tidak melakukannya. Kerana kita bukan dalam negara Islam. Anda perlu menerima peraturan negara yang anda tinggal."