PENGENDALI Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee enggan mengulas lanjut mengenai kualiti pengadilan pada perlawanan menentang juara sembilan kali berturut-turut Johor Darul Ta'zim (JDT) apabila mengakui bimbang digantung lagi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
"Saya sudah digantung, kalau saya cakap ni saya kena gantung lagi. Saya nasihatkan pada pegawai perlawanan untuk saksikan semula insiden tersebut. Kalau saya cakap, tak tahu berapa lama nak kena.
"Itulah perkara yang sentiasa berlaku dan kita perlu perbaiki, bukan sahaja pasukan saya perlu perbaiki, tetapi keputusan-keputusan pegawai perlawanan harus diperbaiki juga,” katanya selepas perlawanan keenam kedua-kedua pasukan pada Jumaat.
Pada perlawanan di Stadium Sultan Ibrahim itu, JDT tidak berdepan masalah mengatasi cabaran Sabah dengan kemenangan 4-0.
Gol Harimau Selatan dijelmakan Arif Aiman minit-20, Juan Muniz (m-39'), Syahmi Safari (m-81') dan Fernando Forestieri (m-89').
Biarpun begitu gol pertama Harimau Selatan kendalian Estaban Solari menjadi pertikaian apabila dikatakan ofsaid.
Pada masa sama Kim Swee mengakui, pemain Sabah berusaha menyaingi bagi mengimbangi kekuatan JDT sepanjang perlawanan itu.
"Namun kita tidak dapat rentak sejak awal lagi apabila gagal mengawal permainan seperti yang dirancangkan sebelum perlawanan.
"Apabila kita dibolosi gol pertama diikuti gol kedua selang beberapa minit kemudian ini secara tidak langsung menyukarkan pencarian jaringan penyamaan," katanya
Namun pada babak kedua Kim Swee mengakui pemain The Rhinos tampil lebih baik bagi menyaingi barisan jentera Harimau Selatan.
"Namun apabila JDT melakukan serangan balas yang semua maklum itu kekuatan utama mereka menyaksikan kita dibolosi lagi pada minit-minit terakhir," katanya
Mengenai kemungkinan faktor ketiadaan perlawanan sepanjang 12 hari sebelum ini menjejaskan momentum, Kim Swee menafikan elemen tersebut merupakan punca The Rhinos mengundang kepada kekalahan pertama Sabah selepas enam aksi liga.
"Faktor keletihan, penggantungan dan kecederaan beberapa pemain Sabah antara punca pasukan kurang menyerlah dalam perlawanan ini," katanya.