JOHOR BAHRU - UMNO Johor menyatakan sokongan kepada kepimpinan Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk menerajui kepimpinan negeri sebagai Menteri Besar.
Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kerajaan negeri pada hari ini merupakan kerajaan yang dibentuk Barisan Nasional (BN) hasil kemenangan dua pertiga pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac, tahun lalu.
"Bagaimanapun, kedua-dua pihak perlu ada persefahaman pendekatan yang strategik kerana kita tidak boleh lari dari hakikat bahawa kita adalah parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat UMNO Johor di Bangunan UMNO Johor pada Sabtu.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Khamis lalu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan memberi jaminan penubuhan Kerajaan Perpaduan seperti yang berlaku di Melaka, tidak mungkin berlaku di negeri lain termasuk Johor.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pendidikan Tinggi berkata, UMNO Johor dan kerajaan negeri bersetuju membentuk sekretariat bersama.
Katanya, sekretariat tersebut akan dianggotai wakil UMNO Johor iaitu Setiausaha (Datuk Abdul Hakim Suleiman), Bendahari (Datuk Zulkarnain Kamisan) dan Ketua Penerangan (Datuk Md Jais Sarday).
"Manakala bagi kerajaan Johor pula ia akan diwakili Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar Negeri Datuk Zahari Sarip; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor; dan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Mohd Hairi Mad Shah.
"Mereka berenam akan berbincang perkara yang perlu untuk mengukuhkan kedudukan parti dan kerajaan untuk bantu supaya kerajaan dapat lakukan perkara yg dapat bawa kebaikan, kesejahteraan dan kemajuan rakyat," katanya.
Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, UMNO Johor juga bersetuju berusaha meningkat dan mengembalikan kepercayaan dan memulihkan keyakinan orang Melayu khususnya terhadap UMNO di Johor dan negara
Oleh itu katanya, UMNO perlu mengembalikan kesatuan dalam parti dan menyokong kepimpinan yang mendapat mandat sama ada akar umbi terhadap bahagian dan bahagian terhadap pimpinan tertinggi UMNO.