PR1MA, SCID meterai MoU bina kediaman guna teknologi IBS

Iklan
PR1MA dan SCID memeterai MoU bagi membina kediaman mampu milik menggunakan teknologi IBS di Beijing, China pada Sabtu.

PERBADANAN PR1MA Malaysia (PR1MA) dan anak syarikat milik SANY Group, SANY Construction Industry Development (M) Sdn Bhd (SCID) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi membina kediaman mampu milik menggunakan teknologi Sistem Binaan Berindustri (IBS).

MOU berkenaan ditandatangani di Beijing, China pada Sabtu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain dihadiri Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Pengerusi PR1MA, Datuk Azrulnizam Abdul Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Seri Mohd Nazri Md Shariff dan Presiden SANY Group Co Ltd, Tang Xiuguo.

Iklan
Iklan

PR1MA dalam satu kenyataan berkata, MoU tersebut merupakan lanjutan kepada perjanjian pernah ditandatangani sebelum ini oleh PR1MA dan SCID pada Mac 2022 untuk membina kilang IBS di lokasi strategik dengan potensi pelaburan di Malaysia bernilai sehingga RM75 juta.

"Kerjasama kukuh antara PR1MA dan SCID itu bagi mempercepatkan penyediaan 12,000 rumah mampu milik menerusi teras strategik Bandar Mini PR1MA.

Iklan

"PR1MA telah menentukan empat lokasi untuk projek Bandar Mini PR1MA iaitu di Teluk Intan, Perak; Simpang Pulai, Perak; Teluk Kumbar, Pulau Pinang; dan Ayer Panas, Melaka.

Menurut PR1MA, SCID juga akan membangunkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional bagi melatih pekerja mahir tempatan dalam teknologi IBS melalui kerjasama dengan institusi pendidikan tempatan dan agensi kerajaan berkaitan.

Iklan

Tambah kenyataan itu lagi, kerjasama tersebut dijangka dapat mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada pekerja berkemahiran tinggi dalam teknologi berkenaan.

"MoU ini juga mengukuhkan peranan SCID sebagai penasihat teknologi bagi Pusat Kecemerlangan PR1MA berkaitan teknologi IBS untuk sistem pembinaan termaju dan sebagai rakan teknologi kepada Bandar Mini PR1MA," ujarnya.

Sementara itu, Kor Ming berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah penting ke arah mencapai aspirasi kerajaan dalam meningkatkan pemilikan kediaman mampu milik berkualiti tinggi terhadap rakyat Malaysia.

Jelas Kor Ming, pelaburan SANY Group ke Malaysia menyumbang kepada pelaburan langsung asing dan pemindahan teknologi sangat dialu-alukan sekali gus membuktikan bahawa negara ini berada di landasan tepat untuk menarik pelaburan asing berimpak tinggi.

Selain itu, Azrulnizam berkata, pihaknya berbesar hati dapat menjalin kerjasama dengan SCID kerana PR1MA dan negara ini boleh mendapat manfaat daripada syarikat tersebut yang merupakan pakar dalam teknologi IBS.

"Ini membolehkan PR1MA meningkatkan lagi usaha membina kediaman mampu milik bagi memenuhi permintaan pembeli rumah di Malaysia," jelasnya.