SHAH ALAM - Cukai ke atas penjualan cecair vape pada kadar 40 sen setiap mililiter (ml) bagi rokok elektronik yang mempunyai kandungan nikotin berkuat kuasa pada Sabtu.
Pelaksanaan cukai tersebut diumumkan menerusi satu notis warta Kerajaan Persekutuan yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat.
Berdasarkan notis warta tersebut, duti baharu itu berkuat kuasa berikutan bermulanya Perintah Duti Eksais (Pindaan) 2023.
Pada 24 Februari, Sinar Harian melaporkan kerajaan bercadang mengenakan duti eksais ke atas produk cecair atau gel mengandungi nikotin yang digunakan untuk rokok elektronik dan vape.
Jelas Anwar yang juga Menteri Kewangan dalam pembentangan Belanjawan 2023, dianggarkan sehingga RM2 bilion mampu dihasilkan melalui duti eksais tersebut berikutan penggunaan yang meluas.
Menurut Anwar, pelaksanaan duti tersebut adalah langkah untuk tidak menggalakkan penggunaan rokok elektronik itu.
Sementara itu, satu warta berkenaan nikotin termasuk tembakau, tampalan dan gula-gula getah, cecair dan gel nikotin dikecualikan daripada Akta Racun 1952 telah dikeluarkan oleh Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa.
Warta tersebut memaklumkan, pengecualian tersebut terpakai ke atas tampalan dan gula-gula getah nikotin yang didaftarkan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Zaliha menjelaskan, lanjutan pengecualian itu, sediaan cecair atau gel mengandungi nikotin untuk tujuan merokok menggunakan rokok elektronik atau peranti pengewapan elektronik kini adalah suatu barangan berduti eksais dan dikawal di bawah Akta Eksais 1976 (Akta 176).
"Akta Eksais 1976 memperuntukkan kawalan antaranya dengan melesenkan aktiviti pengilangan dan penggudangan yang melibatkan sediaan ini. Mana-mana orang yang mengilang barangan berduti eksais tanpa lesen boleh dikenakan tindakan undang-undang,” ujarnya.
Menurut beliau, bagi memastikan terdapat kawalan menyeluruh terhadap sediaan nikotin atau gel mengandungi nikotin di dalam cecair rokok elektronik atau vape, KKM akan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) baharu yang akan mengawal selia perkara tersebut.
Jelasnya, KKM menyasarkan untuk membentangkan RUU baharu tersebut dengan segera pada Mesyuarat Kedua, Penggal Kedua, Parlimen Kelima Belas yang dijangkakan pada bulan Mei 2023.
"KKM telah menjalankan sesi libat urus berkenaan dasar yang telah ditetapkan di bawah RUU baharu ini termasuk peruntukan Generasi Penamat Rokok kepada semua pihak berkepentingan seperti ahli Parlimen, badan bukan kerajaan, badan profesional dan pihak lain yang berkaitan,” katanya.
Tambah Zaliha, KKM akan mempergiatkan kempen advokasi kesedaran bahaya merokok termasuk penggunaan rokok elektronik atau vape melalui Pelan Generational Endgame Anti Rokok (Gegar).
"Ia adalah dengan meneruskan pelaksanaan program pencegahan merokok dan intervensi berhenti merokok di sekolah dan institusi pengajian tinggi melalui kerjasama bersama Kementerian Pendidikan, Kementerian Pengajian Tinggi, Yayasan Sukarelawan Siswazah, Majlis Belia Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan yang berkaitan,” katanya.