Gerai peniaga di View Point Wang Kelian dialih ke tapak baharu

Iklan
Wan Badariah (gambar kecil) dan laporan Sinar Harian.

KANGAR - Kerajaan Perlis merancang mengalihkan gerai-gerai peniaga di View Point Wang Kelian ke tapak baharu selewat-lewatnya sebelum penghujung tahun ini.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pelancongan, Kebajikan dan Bantuan Bencana serta Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Wan Badariah Wan Saad berkata, perancangan tersebut akan dilakukan dalam pembangunan View Point fasa dua secara berperingkat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, fasa kedua dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan pada April dan siap sebelum penghujung tahun ini.

"Memandangkan keluasan View Point Wang Kelian agak terhad, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan bagi membangunkan fasa dua.

Iklan

"Apabila tapak berkenaan siap kelak, semua aktiviti perniagaan akan dipindahkan ke tapak tersebut manakala kawasan View Point sedia ada hanya difokuskan untuk aktiviti menikmati pemandangan,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Sabtu.

Wan Badariah berkata, buat sementara kesemua peniaga diarahkan beralih sedikit ke sebelah kanan dan kiri mercu tanda View Point Wang Kelian bagi membolehkan pengunjung merakamkan gambar berlatarbelakangkan tulisan tersebut.

Iklan

"Pemindahan sementara peniaga akan bermula selepas Hari Raya Aidilfitri, berikutan peniaga menghentikan operasi sepanjang Ramadan,” katanya.

Menurutnya, sebelum meluluskan aktiviti perniagaan dijalankan di View Point, kerajaan negeri telah menimbangkan cadangan menempatkan 12 tapak berniaga di tapak parkir sedia ada, namun ia akan menyebabkan kehilangan sejumlah parkir selain berlakunya kesesakan jalan raya yang lebih serius.

Wan Badariah yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mata Ayer berkata, tapak View Point hanya berkeluasan 650 meter persegi dan saiz ini amat kecil dibandingkan dengan kawasan pelancongan lain.

"Bak pepatah ‘lain padang lain belalang’, operasi di sini berbeza kerana kehadiran pengunjung mengikut kategori. Kebiasaannya pelancong menunggu untuk melihat matahari terbit dan awan karpet, ketika itu pengunjung lebih ramai berbanding waktu lain.

"Kajian Jabatan Perhutanan mendapati, ramai pelancong menyambut baik kehadiran peniaga di tapak berkenaan bagi membolehkan mereka bersarapan sambil menikmati pemandangan indah,” ujarnya.

Tambah Wan Badariah, peniaga di tapak berkenaan mendapat kelulusan pada 2021 dan diberikan permit berniaga serta dipantau sepenuhnya oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis termasuk penetapan tapak berniaga.

"Peniaga terdiri daripada kumpulan asnaf yang dikenal pasti oleh Majlis Agama Islam Perlis (MAIPs) dan diperkenankan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail melalui penyerahan khemah kepada 12 peniaga menerusi ‘Program Peningkatan Sosio Ekonomi Asnaf - Wang Kelian View Point Business Centre’ MAIPs pada 1 Mac 2021,” katanya.

Menurutnya, tulisan View Point Wang Kelian dibina bagi menambah tarikan selain menjadi mercu tanda kawasan pelancongan tersebut yang siap dibina pada awal 2022, dengan penetapan tapak niaga tidak menghalang pemandangan panorama awan karpet.

"View Point Wang Kelian dibangunkan pada tahun 2020 secara berfasa dan mula dibanjiri pelancong bermula Oktober 2020 setelah beberapa gambar panorama indah awan karpet dikongsi pengunjung di media sosial,” katanya.

Pada 24 Mac lalu, Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM), Meenakshi Raman mengatakan, kehadiran peniaga menghalang pandangan mercu tanda View Point Wang Kelian untuk pengunjung merakamkan gambar selain mengehadkan ruang untuk menikmati panorama indah di puncak bukit.

Sehubungan itu, SAM menyarankan agar ruang khas menempatkan peniaga disediakan di tempat bersesuaian berdekatan kawasan tersebut.