KLANG - Seorang ibu tunggal menghadapi dugaan yang bertimpa-timpa apabila kehilangan suami dua bulan lalu dan kini rumah yang didiaminya pula musnah dalam kebakaran dalam kejadian di Lorong Surau Sayyidah Zainab, Kampung Delek Kanan di sini pada Sabtu.
Begitupun, Ispahani Ismail, 41, tetap berasa lega selepas kelima-lima anaknya dan ibu mentua yang tinggal bersebelahan rumahnya terselamat dalam kejadian tersebut.
Menurutnya, dia menyedari kejadian itu kira-kira jam 10 pagi apabila dipanggil oleh anak sulungnya.
"Ketika itu saya berehat dalam bilik, tiba-tiba anak sulung berlari masuk dan terus beritahu ada api di luar.
"Ketika kejadian saya mendukung anak ketiga dan terus menarik tangan anak sulung ke ruang tamu, namun pintu masuk utama memang tak dapat nak keluar, sebab api sangat marak," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Katanya, fikirannya kosong ketika itu kerana terkejut tidak menyangka kebakaran boleh berlaku.
"Saya memang tergamam masa itu, tambahan rumah itu banyak kenangan dengan arwah suami, perasaan saya silih berganti, namun saya gagahi diri untuk menyelamatkan diri bersama dua anak.
"Saya kemudiannya keluar mengikut pintu belakang kerana api ketika itu masih belum merebak," katanya.
Menurutnya, dirinya bersama anak-anaknya tinggal sehelai sepinggang kerana tak sempat menyelamatkan apa-apa barangan.
"Saya masih trauma dengan kejadian ini, sebab ia berlaku dengan begitu pantas, apa-apa pun saya bersyukur sebab kami semua selamat dalam kejadian ini," katanya.
Walaupun diduga dengan kehilangan suami pada Februari lalu, dia menyifatkan ujian yang datang itu perlu ditempuhi dengan sabar.
"Arwah suami, Mohd Rafaie Mohd Nafiah meninggal dipercayai akibat penyakit berkaitan darah.
"Sekali lagi kami sekeluarga diuji dengan kebakaran ini, hanya ALLAH yang tahu perasaan saya, walau apa pun saya perlu tabah hadapi semua ini demi anak-anak," katanya.
Ibu mentua mangsa, Nik Rohana Nik Lah, 62, berkata, rumahnya yang terletak bersebelahan dengan rumah menantunya itu turut sama terbakar.
"Ketika itu saya mengikuti kelas tadarus di surau yang terletak kira-kira 50 meter dari rumah, saya turut membawa tiga lagi cucu saya bersama.
"Masa tengah membaca al-Quran, nampak kepulan asap dari jauh, saya terus bergegas pulang sebelum mendapati rumah saya dan menantu musnah terbakar," katanya.
Jelas Nik Rohana biarpun dugaan ini datang dalam bulan Ramadan dan dua bulan setelah kehilangan anaknya, baginya ini merupakan ujian buat mereka sekeluarga.
"Siapa yang tidak sedih, apabila rumah yang banyak kenangan musnah terbakar, namun bila mengenangkan menantu dan kesemua cucu saya selamat, saya bersyukur kepada ALLAH.
"Apa-apa pun saya harus kuat, saya perlu berikan semangat kepada Ispahani dan kelima-lima cucu saya, kalau saya lemah bagaimana pula dengan mereka," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Morni Mamat berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 10.09 pagi."Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Raja, Sungai Pinang, Sri Andalas dan Pelabuhan Klang dengan kekuatan seramai 24 anggota dikejarkan ke lokasi kebakaran dan tiba pada jam 10.19 pagi.
"Api berjaya dikawal daripada merebak pada jam 10.30 pagi dan anggaran kemusnahan rumah itu antara 70 hingga 90 peratus," katanya.