Tiada halangan mana-mana pihak sertai program di sekolah

Iklan
Fadhlina

KANGAR - Kementerian Pendidikan (KPM) tidak menghalang mana-mana pihak termasuk ahli politik, sama ada daripada pihak kerajaan ataupun pembangkang untuk mengadakan program atau diundang menyertai program, yang diadakan di kawasan sekolah.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek bagaimana pun menegaskan, mereka perlu melakukan permohonan dan mematuhi tatacara Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 4 Tahun 2023, mengenai garis panduan undangan atau lawatan orang kenamaan dan ahli politik ke institusi pendidikan, yang dikeluarkan KPM.

Iklan
Iklan

"Sebenarnya KPM telah pun mengeluarkan garis panduan bagaimana tatacara kemasukan, bukan sahaja kepada orang kenamaan ahli politik tetapi kepada semua pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan orang perseorangan yang mesti mendapat kebenaran daripada KPM.

"Proses itu telah kami perincikan dalam garis panduan tersebut, termasuklah kebenaran mesti diperolehi dalam tempoh 30 hari, kemudian siapa yang menjemput, siapa yang ingin masuk ke sekolah itu mesti mengemukakan permohonan dan mesti ada perincian program, objektif dan impak program tersebut,” katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Iklan

Beliau diminta mengulas dakwaan bahawa ada pemimpin pembangkang yang tidak dibenarkan masuk ke sekolah di sebuah negeri, untuk menghadiri program di sekolah tersebut.

Mengulas lanjut, Fadhlina berkata, garis panduan itu terpakai kepada semua pihak dan KPM tidak ada masalah untuk membenarkan mana-mana individu masuk ke sekolah, sekiranya garis panduan itu dipatuhi.

Iklan

Mengenai isu guru bersara awal, Fadhlina berkata, kementeriannya mengambil serius perkara itu dan telah mengambil langkah-langkah perlu bagi mengatasinya, termasuk mengukuhkan ekosistem perguruan dengan menyediakan khidmat sokongan agar guru-guru dapat bertahan.

"KPM juga mengambil langkah meningkatkan profesionalisme guru, supaya mereka boleh bertahan dalam sistem pendidikan ini dengan sokongan mental, emosi, sokongan profesionalisme dan latihan pembangunan, supaya hala tuju kerjaya mereka dapat dilihat dengan jelas.

"Sokongan-sokongan inilah yang akan mengukuhkan lagi ekosistem itu dan dalam masa yang sama, kita memang tidak ambil mudah isu-isu ini kerana penempatan guru dan kekurangan guru memberi kesan kepada sekolah dan sistem pendidikan,” katanya.

Selain itu, katanya, KPM turut mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan untuk menggantikan segera guru yang bersara awal.

Terdahulu, Fadhlina menghadiri majlis iftar bersama warga pendidik di Institut Pendidikan Guru (IPG) Perlis di sini dan turut mengumumkan peruntukan RM300,000 untuk penyelenggaraan IPG tersebut. - Bernama