Kestabilan politik faktor pelaburan tinggi diraih

Iklan
Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.

SHAH ALAM - Penganalisis ekonomi yakin faktor utama Malaysia meraih komitmen pelaburan berjumlah RM170 bilion adalah disebabkan kestabilan politik dan hubungan baik antara negara dagang melalui lawatan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Pengarah Program MBA dari Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff, selain itu ia menjadi satu penanda aras bahawa isu ketidakstabilan politik di negara ini telah berakhir dan tidak lagi mempengaruhi pelabur luar untuk melabur.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, antara faktor lain yang menyumbang pelaburan masuk adalah kerajaan berjaya menangani isu kesihatan (Covid-19) dan pada tahun ini, Keluaran Dalam Negara Kasar dijangka mencapai sekitar empat ke lima peratus.

"Justeru, sebagai rakan dagang utama, semua pemimpin perlu memberi kerjasama erat dan komitmen bagi memastikan para pelabur yakin untuk melakukan pelaburan dalam negara.

Iklan

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Malaysia meraih komitmen pelaburan tertinggi dalam sejarah berjumlah RM170 bilion daripada pelabur China.

Ahmed Razman berkata, ketika ini perkara paling utama adalah menterjemah pelaburan itu menjadi realiti.

Iklan

"Sekarang baru di peringkat memorandum persefahaman (MoU) dan kita mahu ia benar-benar diterjemahkan menjadi pelaburan konkrit, dibuka peluang pekerjaan dan berlaku pemindahan teknologi.

"Kita juga perlu menarik pelaburan berkualiti yang membolehkan rakyat menaik taraf pengetahuan, kemahiran dan tidak hanya menumpukan kepada industri tenaga buruh berkemahiran rendah sahaja,” ujarnya.

Beliau memaklumkan bahawa jumlah pelaburan sebanyak RM170 bilion merupakan nilai yang begitu besar.

Tegas Ahmed Razman, negara memang memerlukan pelaburan untuk melonjakkan lagi ekonomi dari segi meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui penyediaan pekerjaan yang bermutu tinggi.Jelasnya, impak lebih ketara jika pelaburan itu berbentuk perpindahan teknologi dan menyediakan gaji yang kompetitif.

"Isu utama di negara kita pada ketika ini ialah rakyat berhadapan dengan kos sara hidup tinggi dengan gaji yang rendah,” katanya.